Status Najib: Kabinet dimaklumkan, tapi bukan bidang kuasa kami — Saifuddin


  • Primer
  • Rabu, 31 Jan 2024

Menurut Saifuddin, perkara tersebut bukan berada di bawah bidang kuasa Jemaah Menteri.

MESYUARAT Kabinet pada Rabu sudah dimaklumkan mengenai status pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kabinet tidak mempunyai bidang kuasa untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, ini kerana perkara berkenaan bukan berada di bawah bidang kuasa Jemaah Menteri.

"Dimaklumkan sepintas lalu tapi, bukan bidang kuasa Kabinet. Sebab Lembaga Pengampunan seperti dalam Perlembagaan dia dah nyatakan jelas dari segi bidang kuasa dan keanggotaannya. Jadi kita bincang tapi kita faham ini di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media khas Menteri Dalam Negeri yang disiarkan secara langsung pada Rabu selepas tamat mesyuarat Kabinet.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa pihaknya tidak dapat memberikan sebarang makluman ketika ditanya mengenai jangkaan waktu keputusan tersebut bakal diumumkan.

"Oleh kerana bukan bidang kuasa (Kabinet), saya tak boleh jawab," ujarnya.

BACA LAGI: Spekulasi Najib bebas hampir terjawab, Dr Zaliha sahkan mesyuarat Lembaga Pengampunan di Istana Negara

Former Malaysian Prime Minister Najib Razak leaves Kuala Lumpur High Court in Kuala Lumpur, Malaysia, August 19, 2019. REUTERS/Lim Huey Teng

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. — Reuters

BACA LAGI: Ingkar amaran menteri, media asing lapor jumlah hukuman penjara Najib Razak dikurangkan

Pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengesahkan Lembaga Pengampunan sudah mengadakan mesyuarat di Istana Negara pada Isnin.

Beliau berkata, satu kenyataan rasmi bakal dikeluarkan Lembaga Pengampunan berhubung mesyuarat berkenaan.

Zaliha yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan sama ada salah satu agenda mesyuarat itu adalah bagi memutuskan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, beberapa media sejak Selasa melaporkan mengenai keputusan yang dicapai dalam mesyuarat berkenaan.

Terbaru, sebuah media Singapura yang memetik beberapa sumber pegawai kerajaan, pada Rabu melaporkan bahawa Lembaga Pengampunan dipercayai membuat keputusan bagi mengurangkan hukuman penjara dihadapi Najib daripad 12 tahun kepada enam tahun.

Channel News Asia (CNA) dalam laporan sama turut menyatakan bahawa keputusan itu turut melibatkan pengurangan jumlah denda RM210 juta kepada satu jumlah yang tidak didedahkan.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berhubung dana RM42 juta daripada SRC International, yang merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga kini berdepan perbicaraan salah guna kuasa melibatkan dana mencecah RM2.28 bilion, yang juga dipercayai hasil daripada 1MDB. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram