'Sentiasa menunggu kepulanganmu', Yana luah rindu tunggu Najib Razak pulang


  • Massa
  • Rabu, 31 Jan 2024

Nooryana Najwa meluahkan rasa rindu terhadap bapanya, Najib Razak yang ketika ini dikhabarkan mendapat pengampunan daripada Lembaga Pengampunan. — Instagram/YanaNajib

LAMAN media baru-baru ini hangat memperkatakan berita pembebasan Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan mendapat pengampunan daripada Lembaga Pengampunan.

Namun, perkara itu masih belum dapat disahkan susulan tiada kenyataan rasmi daripada pihak lembaga itu.

Terbaharu, khabar angin itu dikuatkan lagi dengan perkongsian anak perempuan bekas Perdana Menteri tersebut, Nooryana Najwa yang meluahkan kerinduan di laman Instagram peribadinya pada Rabu.

Menerusi hantaran tersebut, Nooryana berkata, dia sentiasa menunggu kepulangan bapanya itu tidak kira berapa lama pun terpaksa menunggu.

"Sentiasa menunggu kepulangan mu, tidak kira lama pun ia mengambil masa," katanya menerusi hantaran tersebut.

BACA LAGI: Najib bebas: Tunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan Negara, tegas Fahmi Fadzil

photo_2024-01-31_22-28-05

Hantaran Nooryana Najwa di laman Instagram miliknya pada Rabu.

BACA LAGI: Pinda audit 1MDB: Najib, Arul Kanda dilepas, dibebaskan

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menggesa agar semua pihak termasuk pengamal media menantikan kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan perkara itu dan tidak menghasilkan berita berdasarkan sumber semata-mata.

Beliau berkata demikian selepas merujuk kepada laporan sebuah portal yang memetik sumber mengatakan bahawa Najib telah mendapat pengampunan daripada Lembaga Pengampunan.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, adalah penting bagi pengamal media memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum berita itu diterbitkan.

Namun, semakan mendapati portal berkenaan telah menarik balik berita mengenai pengampunan Najib atas alasan fakta yang tidak dapat disahkan dan turut memohon maaf kepada pembaca. — Majoriti