POLIS Diraja Malaysia mengesahkan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa sudah tiba di negara ini bagi membantu siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki terbabit tiba di negara ini tengah malam Sabtu, namun lokasi keberadaan Ng tidak didedahkan atas faktor keselamatan.
"Saya sahkan, dia (Ng) sudah berada di negara ini,” katanya ringkas kepada Bernama.
Razaruddin berkata, setakat ini, siasatan terhadap Ng dilakukan pihak berkuasa lain bagi membantu siasatan berkaitan 1MDB.
Difahamkan, Ng akan turut disiasat antaranya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti.
Pada Sabtu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, Ng dijangka tiba di Malaysia pada tengah malam Sabtu dan fokus kerajaan adalah untuk mendapatkan kembali aset yang dikaitkan dalam kes terbabit.
Pada Jumaat, media melaporkan Ng yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York, Amerika Syarikat (AS) kerana bersubahat menggelapkan berbilion dolar dana 1MDB, akan diserahkan kepada Malaysia untuk berdepan pertuduhan di negara ini. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram