KERAJAAN Malaysia berkemungkinan sedang mengusahakan perjanjian dengan kerajaan China bagi membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dakwa laporan daripada bekas wartawan Wall Street Journal, Bradley Hope.
Menurut Bradley, beberapa sumber berkata, aturan mengenai usaha itu sedang 'hangat didebatkan' dalam kerajaan Malaysia berikutan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada Mac lalu.
"Perjanjian sebegitu akan menilai semula projek Belt and Road Initiative di Malaysia agar dapat dilaksanakan daripada segi ekonomi dan bermanfaat kepada keperluan infrastruktur Malaysia serta penyerahan Jho Low sendiri.
"Ini akan menjadi sesuatu yang besar dan menarik, menandakan berakhirnya kisah utama dalam skandal 1MDB - dari penubuhannya pada 2009 hingga keruntuhannya di tengah-tengah kontroversi ditimbulkannya pada 2015.
Anwar (dua, kiri) memeriksa kawalan kehormat pada sambutan rasmi oleh Perdana Menteri China, Li Qiang (kiri) di Great Hall of the People ketika lawatannya ke negara tersebut baru-baru ini.
"Ia juga perolehan semula dana yang besar untuk Malaysia, kerana Jho Low - mengikut anggaran dan sumber kami yang telah mengikuti kes itu dengan teliti - masih mengawal simpanan tunai berbilion dolar," dakwanya dalam laporan berkenaan.
Dakwaan itu diterbitkan dalam entri terbaharu surat beritanya, Whale Hunting yang diusahakan Bradley bersama rakan wartawannya Tom Wright.
Bradley dan Tom kedua-duanya merupakan pengarang bersama buku Billion Dollar Whale yang menceritakan mengenai peranan Jho Low dalam skandal 1MDB.
Bradley turut mendakwa bahawa perjanjian yang sedang diusahakan itu menarik untuk Malaysia.
"Ini adalah perjanjian yang sangat sulit dan mencabar untuk diselesaikan.
“Saya hanya membuat spekulasi, tetapi saya bayangkan kedua-dua pihak mahu membuat pengumuman positif ini,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram