Mabuk, liwat dan bersetubuh dengan mayat antara 16 dari 18 peruntukan terbatal dalam Enakmen Syariah Kelantan


Nik Elin (tengah) membuat petisyen bagi mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Syariah Kelantan. — Malaysia Tribune

MAHKAMAH Persekutuan di Putrajaya pada Jumaat memutuskan 16 daripada 18 peruntukan terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Ia membabitkan Seksyen 11 mengenai pemusnahan dan mencemarkan tempat ibadat (Seksyen 11), Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 (persetubuhan dengan mayat), Seksyen 17 (persetubuhan dengan bukan manusia) dan gangguan seksual (Seksyen 31) .

Enakmen lain yang diisytihar tidak sah termasuk Seksyen 31 berkaitan memberi maklumat palsu, Seksyen 36 (mabuk), persediaan untuk melakukan maksiat (Seksyen 45) dan Seksyen 42 (penyalahgunaan label halal).

Sementara itu, dua peruntukan yang gagal untuk dibatalkan adalah Seksyen 13 mengenai penyerahan anak kepada orang bukan Islam atau Muslim yang rosak akhlaknya dan Seksyen 30 (perkataan yang boleh memecahkan keamanan).

Dalam keputusan tersebut, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan majoriti 8-1 bagi membenarkan petisyen dibuat Nik Elin Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Satu-satunya penghakiman berbeza datang daripada Hakim Besar Sabah dan Hakim Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Hakim lain dalam panel itu ialah presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah, dan hakim Mahkamah Persekutuan Hakim Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.

BACA LAGI: Kerajaan tiada kuasa pengaruhi keputusan pengampunan, Agong ada kuasa budi bicara mutlak — Pakar Perlembagaan

WhatsApp Image 2024-02-09 at 10.28.11 AM

Dalam keputusan tersebut, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan majoriti 8-1.

BACA LAGI: Buka cerita isu pemberian gelaran Tan Sri, cucu Nik Aziz dikecam kerana burukkan bapa saudara

Pada 22 Mei 2022, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang juga seorang peguam dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa.

Mereka turut memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam saja.

Dalam pada itu, ketika membacakan keputusannya, Tengku Maimun berkata, badan perundangan Kelantan bertindak melebihi kuasa yang ada apabila menggubal enakmen tersebut yang bercanggah dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga sekali lagi mengingatkan bahawa cabaran petisyen berkenaan tidak melibatkan mengenai kedudukan Islam dan sistem kehakiman syariah di Malaysia.

Jelas Tengku Maimun, yang disentuh dalam cabaran berkenaan ialah mengenai keabsahan 18 peruntukan enakmen Kelantan yang didakwa pempetisyen sebagai melanggar had kuasa negeri terbabit seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

"Kuasa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dihadkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan mereka tidak boleh membuat sebarang undang-undang yang mereka suka," katanya.— The Star/JUNAID IBRAHIM/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram