TIMBUL persoalan sama ada sah atau tidak talak yang dilafazkan seorang lelaki yang menceraikan isteri dalam keadaan terpaksa.
Dalam satu hantaran di Facebook, individu yang tidak mahu identitinya diketahui meluahkan kemusykilan mengenai talak sehingga memperoleh banyak komen yang turut memberi pendapat masing-masing.
"Suami ceraikan isteri dalam keadaan terpaksa, dengan dipaksa oleh pihak ketiga. Sebutan lafaz jelas, adakah jatuh talak?," tulisnya di Facebook.
Mengulas soal itu, Peguam Syarie, Nursakinah Jaludin, 35, berkata, penentuan sah atau tidak satu-satu perceraian hanya boleh ditentukan oleh hakim di peringkat Mahkamah Rendah Syariah.
Suami isteri yang mengalami masalah rumah tangga perlulah merujuk ke Mahkamah Rendah Syariah berdekatan. — Gambar hiasan
Hal ini kerana, Mahkamah Rendah Syariah akan mengambil keterangan daripada dua-dua belah pihak iaitu isteri dan suami terlebih dahulu untuk mengetahui isu sebenar dan cara lafaz talak yang dikeluarkan.
Nursakinah berkata, pelbagai aspek yang akan dipertimbangkan untuk menentukan sama ada talak yang dibuat sah atau tidak.
Antaranya, perlu diteliti terlebih dahulu mengenai jenis paksaan yang menyebabkan seorang lelaki menjatuhkan talak ke atas seorang isteri.
"Kena tengok dahulu paksaan itu macam mana, kalau paksaan tidak sampai mengancam nyawa, maka boleh dikira sah talak yang dibuat.
"Tetapi kalau talak yang dibuat atas paksaan oleh mana-mana pihak sehingga mengancam nyawa, belum tentu talak yang dijatuhkan itu sah," katanya kepada Majoriti.
Nursakinah Jaludin merupakan Peguam Syariah Negeri Selangor.
Mengulas lanjut, Nursakinah berkata, lafaz penceraian terbahagi kepada dua iaitu lafaz sarih (jelas) dan lafaz kinayah (berkias).
"Lafaz sarih ini maksudnya memang jelas suami sebut aku ceraikan engkau atau aku talakkan engkau," katanya.
Manakala untuk lafaz kinayah, suami perlu menjelaskan apa maksud tersirat ayat yang dikeluarkan terhadap isteri.
"Contohnya, suami kata kepada isteri, 'aku lepaskan engkau, pulanglah ke rumah ibu kau,' hakim akan tanya niat sama ada memang mahu lafazkan talak atau niat sebenarnya apa," katanya.
Nursakinah turut berkata, untuk kes lafaz talak di luar mahkamah, adalah sangat penting untuk seseorang mengingati lafaz talak yang dibuat, talak itu ditujukan kepada siapa, tempat, waktu, keadaan suami ketika lafaz dan bentuk lafaz sama ada lisan atau tulisan.
Ini kerana, mahkamah akan menentukan sama ada talak yang dibuat memenuhi kesemua rukun talak atau pun tidak.
Lima rukun talak ialah sighah (lafaz talak), mahal (orang yang ditalak atau isteri), wilayah (kekuasaan), qasad (niat) dan mutallaq (pentalak). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram