[VIDEO] 'Sukan sesama murid, bukan lawan musuh', mufti desak KPM siasat sekolah laung Qunut Nazilah


  • Massa
  • Selasa, 30 Jan 2024

Beberapa pasukan kejohanan sukan ragbi peringkat sekolah baru-baru ini yang didakwa bertindak melaungkan Qunut Nazilah sebelum melangkah kaki ke padang. — Facebook/Al-Abror Mohd Yusuf

TULAR lewat kebelakangan ini mengenai kejadian beberapa sekolah di Selangor bertindak melaungkan Qunut Nazilah sebelum melangkah kaki ke padang untuk memulakan kejohanan sukan.

Amalan Qunut Nazilah sememangnya digunakan untuk mendapat bantuan daripada ALLAH atas bencana yang melanda tetapi lafaz itu sama sekali tidak bersesuaian untuk digunakan sebelum perlawanan sukan.

Bercakap soal itu, Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron meminta agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyiasat isu berkenaan.

"Kalau sekadar bersukan, tak kena untuk guna Qunut Nazilah, tak menepati syariah kerana mereka bersukan bukan menentang musuh tetapi hanya perlawanan sesama murid sahaja.

"KPM perlu buat siasatan kerana benda begini mungkin ada dalang," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Mufti Pulau Pinang mohon maaf bukan kerana salah, tapi kerana adab dalam Islam — Mufti Kelantan

Sebelum ini, dalam hantaran di Facebook, seorang pengguna, Al-Abror Mohd Yusuf meluahkan rasa kecewanya apabila kalimah suci itu disalah gunakan pada perlawanan sukan sekolah.

"Sangat menyedihkan apabila sukan yang masih peringkat ini dicemari oleh kefahaman yang salah dalam beragama...Oh, ya. Ada juga pasukan yang bertakbir sebelum masuk padang. Takbir itu memang benar, tapi bertakbir untuk berlawan ragbi?" tulisnya.

BACA LAGI: Lafaz talak secara terpaksa belum tentu sah, ketahui penjelasan peguam syarie

Umum mengetahui bahawa Qunut Nazilah memiliki makna yang tidak bersesuaian untuk digunakan dalam sembarangan aktiviti.

Maksud Qunut Nazilah:

Ya ALLAH, kami letakkan Kamu di batang leher musuh-musuh kami,

dan kami berlindung denganmu dari kejahatan mereka,

Ya ALLAH hancurkan kumpulan mereka,

Ya ALLAH pecahkan pakatan mereka,

Ya ALLAH leburkan pendirian mereka,

Ya ALLAH musnahkan langkah mereka,

Cengkamkan anjing-anjingmu kepada mereka,

Ya ALLAH yang Maha Memaksa,

Ya ALLAH yang Maha Perkasa,

Ya ALLAH yang Maha Membalas,

Ya ALLAHU, Ya ALLAHU, Ya ALLAH,

Yang turunkan kitab,

Yang gerakkan awan,

Yang tewaskan tentera Ahzab,

Susulan itu, Al-Abror bertindak membuat bantahan kepada penganjur kejohanan terbabit dengan harapan mampu mencegah kejahilan itu daripada diteruskan.

Namun, teguran yang diberikan dilihat sama sekali tidak memberi apa-apa kesan, sebaliknya amalan 'aneh' itu masih berlaku.

"Dimaklumkan yang penganjur akan memberi nasihat kepada sekolah terbabit. Tapi hari ini ia berlaku lagi. Nampak macam penganjur tak boleh nak diharapkan. Mungkin kerajaan Selangor melalui portfolio pendidikan (yakni Amirudin Shari) dan exco agama (Dr. Fahmi Ngah) patut tengok-tengokkan juga," tulisnya lagi.

Dalam pada itu, Al-Abror turut berharap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek: KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengambil perhatian mengenai isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram