Kerajaan tiada kuasa pengaruhi keputusan pengampunan, Agong ada kuasa budi bicara mutlak — Pakar Perlembagaan


  • Massa
  • Khamis, 08 Feb 2024

Nik Ahmad berkata, perkara mengenai kuasa budi bicara Agong turut sudah ditegaskan melalui beberapa keputusan perbicaraan kes yang dibuat di Mahkamah Persekutuan. — Gambar hiasan

YANG di-Pertuan Agong memiliki kuasa mutlak untuk menentukan keputusan pemberian pengampunan terhadap permohonan yang dikemukakan, kata Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

Beliau yang juga Ahli Majlis Profesor Negara (Kluster Politik, Governan dan Undang-Undang), berkata, dalam memutuskan perkara tersebut, Agong juga tidak terikat terhadap nasihat daripada ahli Lembaga Pengampunan.

"Lembaga Pengampunan itu berfungsi untuk beri pandangan dan nasihat, tetapi dia tidak mengikat YDPA," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kes pengampunan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu sidang media pada Ahad, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa terdapat percanggahan keputusan antara Lembaga Pengampunan dan Agong berhubung keputusan pengampunan Najib.

Ini kerana menurut beliau, Lembaga Pengampunan tidak menasihatkan Agong untuk mengurangkan hukuman kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Sementara itu, Nik Ahmad berkata, perkara mengenai kuasa budi bicara Agong turut sudah ditegaskan melalui beberapa keputusan perbicaraan kes yang dibuat di Mahkamah Persekutuan.

Ia antara lain melibatkan kes Juraimi Husin v Lembaga Pengampunan pada 2002, Karpal Singh v Sultan Selangor (1988) dan Supt Penjara Pudu v Sim Kie Chon (1986).

Menerusi keputusan dalam kesemua perbicaraan tersebut, beliau berkata, Mahkamah memutuskan dengan jelas bahawa hal pengampunan adalah merupakan budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong.

"Perkara 42 Perlembagaan Persekutan sudah menyatakan kuasa Agong untuk memutuskan untuk memberi pengampunan atau tidak.

"Mahkamah mentakrifkan terma kuasa di bawah Perkara 42 itu sebagai kuasa budi bicara dan kuasa prerogatif YDPA yang tidak boleh dipersoalkan," ujarnya.

BACA LAGI: Ramkarpal Singh desak Lembaga Pengampunan jelaskan keputusan terhadap Najib

Former Malaysian Prime Minister Najib Razak leaves Kuala Lumpur High Court in Kuala Lumpur, Malaysia, August 19, 2019. REUTERS/Lim Huey Teng

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. — Reuters

BACA LAGI: Najib bakal hantar permohonan pengampunan penuh baharu

Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa YDPA, Raja atau Yang di-Pertua Negeri mempunyai kuasa untuk memberi ampun, tunda hukuman atau lega hukuman.

Mengulas mengenai penglibatan eksekutif dalam proses pemberian pengampunan, Nik Ahmad berkata, Kerajaan tidak mempunyai sebarang penglibatan terutamanya dalam isu keputusan pengampunan.

Malah, beliau juga menafikan pendapat berpandangan bahawa Kerajaan mempunyai kuasa untuk mempengaruhi keputusan yang dibuat dalam proses tersebut.

"Ikutkan dalam Lembaga Pengampunan pun tidak ada kuasa eksekutif. Yang ada hanya Menteri Wilayah. Tetapi seperti yang disebutkan tadi bahawa Lembaga Pengampunan hanya berfungsi memberi nasihat dan pandangan.

"Akhirnya yang buat keputusan adalah YDPA," ujarnya.

Untuk rekod, keahilan bagi Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terdiri daripada Yang diPertuan Agong sebagai Pengerusi, Peguam Negara Persekutuan, Menteri bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang dilantik Agong.

Pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengumumkan Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, dengan beliau dijangka bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Lembaga Pengampunan terbabit turut turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram