BEKAS Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima anugerah darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada 5 Jun lalu.
Penganugerahan tersebut dilihat sememangnya sesuatu yang tepat dengan mengambil kira sumbangan dan tempoh perjuangan serta pengaruh dibinanya di dalam politik negara selama lebih empat dekad.
Ketika menjadi wakil menerima gelaran tersebut, Tuan Sabariah Tuan Ishak berkata, pengurniaan tersebut merupakan satu pengiktirafan atas perjuangan Allahyarham yang juga bekas Mursyidul Am PAS bersama parti.
Sepanjang hayatnya, beliau berkata, suaminya yang juga dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Abdul (TGNA) bertungkus lumus memartabatkan Islam dalam kehidupan rakyat dan pentadbiran negara.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz (wakil) ketika Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 5 Jun lalu. — Bernama
Sementara PAS dalam kenyataan rasminya berkata, gelaran itu merupakan pengiktirafan besar buat perjuangan Allahyarham sepanjang bersama parti itu untuk memperjuangkan pemerintahan Islam di Malaysia.
Jelasnya, tempoh 23 tahun sebagai Menteri Besar Kelantan menyaksikan Nik Abdul Aziz sangat dikagumi melalui dasarnya dengan slogan 'Membangun Bersama Islam'.
Kata-kata positif terhadap penganugerahan itu datang bukan sahaja daripada rakan tetapi juga pihak yang pernah menjadi lawannya dalam politik.
Namun begitu, terdapat satu kenyataan mengejut dikeluarkan salah seorang ahli keluargannya mengenai isu pengurniaan darjah kebesaran itu.
Dalam satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu, cucu Allahyarham iaitu Nik Nur Humaira mendakwa ahli keluarga pada awalnya diberitahu bahawa TGNA 'dicanang' untuk menerima anugerah bergelar Tun.
Bagaimanapun, dia berkata, mereka kemudiannya dikejutkan apabila mendapat surat daripada Istana Negara memaklumkan Nik Abdul Aziz hanya akan diberikan pingat bergelar Tan Sri.
"Adakah kami memandang rendah gelaran Tan Sri ini? Tidak. Namun kami terkejut kerana ayahanda ulama sepuh milik ummah ini diletakkan sebaris seteru politik dan agama daripada DAP, dari dulu sehingga nafas akhir beliau.
"Ternyata sama sahaja taraf seorang ulama bermati-matian atas nama Islam, dengan seorang berfahaman cauvinis dan tidak menerima Malaysia sebagai negara Islam, di mata Malaysia Madani ini," katanya.
Bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Nur pada masa sama menafikan keluarganya itu mengambil pendekatan bertentangan dengan PAS, sebaliknya hanya cuma mahu menepis dakwaan mengatakan perpecahan berlaku dalam kalangan keluarga TGNA.
Katanya, ini kerana ada pihak cuba untuk memainkan naratif bahawa mereka adalah golongan yangantaranya cuba 'menyatukan keluarga TGNA yang berpecah'.
"Walhal, hanya kerana seorang anak Allahyarham tidak sedar dirinya menjadi bola bagi pihak lawan, bergerak ikut kaki yang menyepaknya.
"Meraikan ayahnya yang diletakkan sebaris dengan musuh agama yang dilawan sehingga keras jiwa dan putus nyawanya," ujarnya.
Individu dimaksudkan dalam kenyataan itu dipercayai merujuk kepada salah seorang anak kepada Nik Abdul Aziz iaitu Nik Omar yang kini tidak lagi bersama PAS.
Nik Nur menambah, surat bagi jemputan daripada Istana bagi pengurniaan itu juga di buat melalui bapa saudaranya itu yang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu bertanding bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"23 tahun memimpin kerajaan PAS di Kelantan, namun undangan bersejarah begini diberikan melalui tangan seorang yang memilih untuk tidak bersama perjuangan beliau?"soalnya.
Untuk rekod, Nik Omar tidak lagi bersama Pas selepas beliau membuat keputusan bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) bermula pada PRU14.
Nik Omar keluar daripada PAS dan bertanding bersama PH sejak PRU14 lalu.
Dalam pada itu, rata-rata daripada warganet menyifatkan kenyataan dibuat Humaira itu tidak sepatutnya didedahkan kepada umum memandangkan ia hal dalaman keluarga.
"Ia tidak perlu dicanang sampai tahap menjatuhkan maruah bapa saudara sendiri.
"Saudari seolah-olah menulis untuk memperjuangkan kebenaran, tetapi sebenarnya tulisan ini lebih berbaur kebencian kepada bapa saudara sendiri. Inilah contoh mendedahkan aib dalaman keluarga," tulis Kheyr Hameed.
"Taksub politik kepartian melebihi hubungan kekeluargaan," kata Nafiaun Li Ghairihi.
"Penulisan kurang matang dan penuh emosi. Kalau gelaran Tan Sri dikata tak padan sebab sebaris dengan pemimpin DAP persis LKS (Lim Kit Siang).
"Maka gelaran Tun pula tak ke sebaris dengan Tun M (Mahathir Mohamad) yang mana sehingga TGNA pergi meninggalkan kita Tun M masih dikenal sebagai seteru politik berbanding LKS yang menjadi sahabat politik sekian lama," ujar Nicko Zulkarnain.
Pada masa sama, terdapat pihak berpandangan kenyataaan dikeluarkan Nik Humaira itu sebagai sebagai sesuatu yang berasas memandangkan keluarga tersebut dipalitkan dengan perbalahan politik di dalam negara.
"Hanya anda yang nampak ini isu keluarga sedangkan yang lain membaca ini dengan isu prinsip," ujar Salman Al Farisi Muhammad.
"Tak mengapa anakanda Nik Nur Humaira, kamu sekadar menulis. Bila menulis ni mesti ada keburukan yang tak boleh lari untuk dikatakan. Melalui tulisanlah kita dapat melihat keseluruhan cerita selain dari gambar.
"Saya faham setiap keluarga ada masalah tersendiri. Jangan gentar dan jangan putus asa. Tulislah dengan fakta dan gambarkan dengan baik," kata Ropikatul Husna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram