MENURUT Kamus Dewan edisi keempat, obesiti bermaksud kegemukan yang disebabkan terdapatnya lemak yang berlebihan.
Dalam erti kata lain, obesiti ialah keadaan apabila berat badan seseorang tidak mencapai ukuran ideal ketinggiannya.
Obesiti dianggap sebagai satu penyakit kerana tisu-tisu lemak yang keterlaluan terkumpul di dalam badan.
Lebih merisaukan lagi obesiti boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ badan dan boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius.
BACA LAGI: 'Pernah ketuk pintu minta beras', kisah inspirasi pencipta kek RM15,000
Seseorang yang mengalami obesiti atau kegemukan badan selalunya berisiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung dan diabetes.
Selain itu, pesakit obesiti juga sukar untuk melakukan aktiviti seharian mereka disebabkan keadaan badan yang tidak cergas.
Pesakit obesiti juga berkemungkinan besar menghadapi masalah tekanan mental kerana tidak yakin berhadapan dengan masyarakat kerana bentuk badan mereka lebih besar.
Dalam pada itu, penghidap obesiti dapat dikategorikan kepada golongan yang mempunyai jangka hayat yang singkat.
Dalam meniti arus kemodenan ini, masalah obesiti semakin meningkat saban tahun kepada seluruh generasi umur tidak kira dewasa atau kanak-kanak.
Menurut laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, 50.1 peratus populasi dewasa di Malaysia dilaporkan mengalami berat badan berlebihan iaitu obesiti.
Obesiti juga merupakan penyakit kedua yang paling umum di Malaysia selepas penyakit jantung.
Seterusnya, Malaysia dicatatkan sebagai negara yang tertinggi penghidap obesiti di Asia Tenggara.
Obesiti di kalangan remaja lazimnya berpunca kerana tidak mempraktikkan amalan pemakanan seimbang,serta kurang bersukan dan beriadah.
Sikap remaja yang tidak mengamalkan pemakanan seimbang dalam kehidupan seharian mereka menjadi punca kepada obesiti yang semakin berleluasa di negara ini.
Pemakanan seimbang bermaksud nilai kalori dan tenaga yang diperolehi mestilah yang diperlukan oleh badan sahaja.
Remaja kini, khususnya pelajar Institut Pengajian Tinggi selalunya tidak sempat mengamalkan makanan seimbang disebabkan mempunyai tugasan universiti yang banyak.
Apabila tiba waktu makan, mereka hanya inginkan makanan yang mudah disediakan dalam waktu yang singkat seperti mi segera,makanan ringan dan makanan berproses.
Mereka tidak cakna sebenarnya makanan-makanan ini mengandungi kalori yang tinggi.
Berat badan seseorang, boleh bertambah apabila mereka makan berlebihan daripada apa yang dibakar oleh badan.
Oleh hal yang demikian, kalori yang berlebihan ini akan berkumpul menjadi lemak yang akan menjejaskan berat badan seseorang.
Punca lain yang menyebabkan obesiti ialah kurang beriadah dan bersukan.
Remaja pada era ini, lebih leka dengan dunia maya apabila mereka mempunyai masa lapang.
Terutama, pelajar Institut Pengajian Tinggi yang mempunyai jadual kelas yang padat hampir setiap hari.
Oleh itu, jika mereka mempunyai waktu lapang, mereka lebih memilih untuk beristirahat dan lebih selesa untuk tidur daripada beriadah mahupun bersosial dengan masyarakat luar.
Namun demikian, kadangkala sikap remaja itu sendiri yang tidak suka bersukan dan lebih gemar melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.
Buktinya, kita sering melihat remaja kini lebih cenderung merokok, melepak dan merayau-rayau membuang masa daripada beriadah dan bersukan.
Di samping itu, tempoh tidur seseorang juga boleh menyumbang kepada masalah obesiti.
Hal ini kerana, seseorang lebih mudah untuk mendapat kenaikan berat badan apabila tidur terlalu lama kerana badan tidak membakar lebih banyak kalori.
Berlebihan tidur meningkatkan risiko obesiti sehingga 21 peratus berbanding orang yang tidur secara normal.
Jika dilihat dari sudut lain, seseorang yang kurang tidur pula,badannya akan mengeluarkan hormon semasa tidur yang akan mengawal selera makan juga kadar penggunaan tenaga di dalam tubuh.
Misalnya, hormon insulin mengawal kandungan gula di dalam badan seseorang yang sedang tidur.
Maka, sekiranya seseorang itu kurang mendapat tidur, kandungan gula di dalam badannya lebih kurang sama dengan penghidap penyakit diabetes.
Setelah mengetahui punca-punca yang menyebabkan obesiti dalam kalangan remaja, beberapa usaha hendaklah diambil bagi mengurangkan masalah obesiti yang kian meningkat di dalam negara ini.
Antara usaha yang dapat diketengahkan adalah, golongan remaja perlulah mengamalkan pemakanan yang seimbang.
Pihak ibubapa, dan sekolah haruslah memainkan peranan penting dalam membimbing anak-anak tentang cara pemakanan yang betul.
Golongan remaja perlulah mengamalkan pemakanan yang seimbang untuk mengelakkan obesiti.
Oleh itu, mereka tidak mudah terpengaruh dengan makanan viral yang tidak berkhasiat yang dipromosikan di sosial media.
Selain itu, carta piramid makanan wajarlah dikenalkan kepada anak-anak sejak usia yang kecil.
Hidangan yang ditunjukkan di dalam piramid makanan dapat menentukan ia pada kadar yang mencukupi atau berlebihan.
Tuntasnya, dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang, seseorang remaja dapat mengelakkan dirinya daripada masalah obesiti.
Seterusnya, golongan remaja digalakkan beriadah dan bersenam dengan lebih kerap.
Remaja seharusnya menggunakan peluang dengan baik sementara tenaga tubuhnya masih kuat untuk melakukan aktiviti di luar rumah.
Aktiviti yang boleh dilakukan oleh remaja seperti bermain bola sepak, badminton dan berjoging.
Aktiviti berjalan dengan cepat juga adalah salah satu cara untuk meningkatkan tahap kecergasan dalam badan.
Aktiviti-aktiviti ini dapat membantu tubuh badan untuk membakar kalori dan lemak berlebihan yang terkumpul di dalam badan serta dapat menyingkirkan sisa-sisa toksik yang tidak diperlukan di dalam tubuh badan seseorang.
Sewaktu usia masih muda inilah golongan remaja perlu menjaga kesihatan tubuh badan.
Hal ini kerana, apabila remaja sudah meningkat dewasa, masa bersukan dan beriadah semakin terhad kerana kesibukan dengan kerjaya masing-masing.
Intihanya,penyakit obesiti dapat dielak oleh golongan remaja jika mereka menjadikan riadah dan bersukan sebagai aktiviti yang wajib pada setiap minggu.
Konklusinya, punca-punca yang mengakibatkan obesiti dapat dicegah dengan usaha-usaha yang telah diketengahkan dalam perbincangan di atas.
Masalah ini haruslah diberi perhatian kerana remaja-remaja inilah yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan.
Seorang pemimpin perlulah mempunyai tubuh yang sihat supaya dapat melakukan amanah yang diberikan dengan sempurna.
Persis peribahasa, badan cergas otak cerdas, remaja juga dapat memberi tumpuan yang lebih di dalam kelas jika mereka mempunyai tubuh yang sihat dan cergas. — Majoriti
Siti Nurfaqihah Syafiqah Mustafa Kamal merupakan pelajar Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
*Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram