Tragedi kepala air, 2 pengunjung cemas 1 jam terperangkap di Lata Bayu


  • 112
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Anggota APM membawa mangsa yang mengalami kecederaan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Baling. — APM

HUJAN lebat yang melanda telah mengakibatkan dua pengunjung terperangkap dalam kejadian kepala air yang berlaku di Lata Bayu, Asam Jawa, Baling, Kedah pada petang Khamis.

Bagaimanapun, kedua-duanya berjaya diselamatkan dam satu operasi menyelamat dijalankan Angkatan Pertahanan Awam (APM) ketika kejadian.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, APM menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.55 petang mengenai kejadian terbabit.

Katanya, seramai sembilan anggota APM bergegas ke lokasi kejadian dan mangsa berjaya diselamatkan pada pukul 5.55 petang.

"Seorang mangsa berusia 22 tahun yang mengalami kecederaan di kepala dibawa ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan, manakala seorang lagi dilaporkan dalam keadaan sedar dan stabil," katanya dalam kenyataan pada Khamis malam.

Mohd Faizol dalam masa sama turut menasihatkan orang ramai yang ingin melakukan aktiviti riadah di kawasan air terjun supaya berhati-hati dan segera meninggalkan kawasan tersebut jika terdapat tanda-tanda berlakunya kepala air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram