TIGA lagi kanak-kanak yang hilang ekoran insiden kepala air yang berlaku di Kampung Poh, Bidor, Ipoh Perak pada petang Rabu masih lagi belum ditemui.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya ketika ini masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sepanjang sungai terbabit bagi mencari baki mangsa terlibat.
"Hujan sudah berhenti. Air masih keruh tetapi semakin surut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sayani berkata, seekor unit anjing pengesan K9 turut dikerah bagi membantu operasi mencari.
“Pada masa ini, kita mempunyai lapan anggota bomba dari Balai Bidor, enam daripada Unit Penyelamat Air Teluk Intan dan tiga pegawai dalam operasi itu, serta 22 anggota polis dan 15 penduduk kampung,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Ibu, anak usia 7 tahun ditemui lemas di Tawau
BACA LAGI: Warga emas ditemukan lemas lepas redah banjir di Kuantan
Sebelum itu, dilaporkan seramai tujuh individu dipercayai hanyut ke dalam sungai ekoran insiden kepala air yang berlaku di lokasi kejadian pada pukul 4 petang.
Mereka terdiri daripada tiga wanita dan empat kanak-kanak yang ketika itu sedang berkelah berhampiran sungai berkenaan.
Ekoran daripada itu, seorang wanita dilaporkan dijumpai maut oleh orang kampung kira-kira 1 kilometer daripada lokasi mereka berkelah.
Dalam perkembangan terbaharu, Sayani memaklumkan dua lagi mangsa iaitu seorang wanita warga Indonesia dan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ditemukan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Pada masa sama, ahli keluarga ketiga-tiga kanak-kanak yang hilang itu turut meminta orang ramai agar mendoakan supaya kesemua mangsa dapat ditemui dengan selamat.
Difahamkan, kesemua kanak-kanak terlibat merupakan anak kepada wanita yang terkorban dalam kejadian tersebut.
"Mohon semua mendoakan tiga anak saudara saya akan dijumpai selamat dalam insiden kepala air di sungai Kampung Poh, Bidor sebentar tadi.
"Ibu mereka, adik ipar saya iaitu Aszura Bani isteri kepada adik saya, Azam Radin Mustapha telah dijumpai meninggal dunia.
"Semoga ada keajaiban dan kekuasaan ALLAH menemukan mereka dalam keadaan selamat," tulis Aznur Radin yang merupakan ibu saudara kepada mangsa kanak-kanak yang masih hilang menerusi hantaran di Facebooknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram