NAMPAKNYA isu membabitkan anak perempuan Norman Hakim dan Abby Abadi, Marissa Dania Hakim kembali menjadi radar bualan warga maya.
Sebelum ini, gadis berusia 19 tahun itu dikaitkan dengan isu 'penyondol' apabila namanya dikatakan menjadi punca keretakan rumah tangga pasangan dikenali sebagai Aslam dan Misya Mazlan.
Bagaimanapun, masalah tersebut difahamkan sudah selesai pada September 2023 selepas dimaklumkan oleh Norman Hakim sendiri.
Malah beliau turut menyifatkan perkara yang berlaku sebagai satu pengajaran buat mereka sekeluarga.
Namun begitu, jika anda fikir kontroversi berkenaan sudah selesai, anda silap besar.
Isu ini kembali hangat setelah seorang individu memberitahu bahawa Marissa Dania dan lelaki dengan dua cahaya mata itu sudah pun melangsungkan pernikahan secara senyap-senyap di Songkla, Thailand pada 27 Disember lalu.
Lebih mengejutkan, ia berlaku di luar pengetahuan sewaktu Misya yang pada ketika itu sedang menunaikan umrah di Mekah.
BACA LAGI: [VIDEO] Rusuhan pusat tahanan imigresen Bidor: 131 terlepas, seorang maut kemalangan di PLUS
Bagaimanapun menurut laporan media tempatan, Aslam dilaporkan telah memaklumkan mengenai pernikahan itu kepada isterinya sehari selepas Misya pulang daripada umrah.
Sementara itu, Abby dan Norman dipercayai sudah bertemu dengan keluarga Aslam sejurus mengetahui tentang berita itu dan meminta agar pasangan tersebut berpisah, namun kedua-duanya enggan.
Masing-masing dilihat mengunci rapat kisah kontroversi ini, namun sepotong ayat yang diluahkan menerusi hantaran Abby Abadi menerusi Instagram Stories (IGs) pada Khamis menarik perhatian umum.
"Lawan semua dengan doa," tulis pelakon yang popular dengan wataknya sebagai Inspektor Aleeza dalam siri televisyen Gerak Khas itu.
Namun hantaran ringkas tersebut tidak pasti ditujukan kepada siapa.
Disebabkan itu, sebahagian besar netizen mendakwa hantaran ringkas Abby Abadi itu ada berkait rapat dengan apa yang dihadapi Marissa Dania.
Sebelum ini, Misya mendakwa, pempengaruh media sosial itu menjadi penyondol rumah tangga yang dibina selama tiga tahun.
Malah, wanita tersebut turut menampilkan bukti resit dan mendakwa Marissa Dania kantoi 'check-in' bersama suaminya.
Bagaimanapun, Marissa tampil mengaku melakukan kekhilafan menerusi Instagram dan meminta agar ibu bapanya tidak dipersalahkan atas kekhilafan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram