[VIDEO] Rusuhan bagai nak rak guna objek tajam, polis Sarawak sahkan tiada yang cedera, kenal pasti motif sebenar


  • 112
  • Khamis, 08 Feb 2024

Tangkap layar kejadian rusuhan melibatkan sekumpulan lelaki yang bersenjatakan objek tajam dan batang besi di Jalan Batu Kawa, Kuching, Sarawak pada Ahad lepas.

SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan bersenjata objek tajam di pekarangan kediaman dekat Jalan Batu Kawa, Kuching, Sarawak pada Ahad lepas (4 Februari).

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lelaki berusia sekitar 20-an berkenaan ditahan pada Rabu.

Menurutnya, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang pengadu wanita berhubung insiden tersebut.

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan motif rusuhan masih dalam siasatan.

"Suspek direman di Mahkamah Kuching pada Khamis bagi membantu siasatan, manakala Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Padawan akan mempergiatkan usaha mengesan suspek lain," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] Rakaman CCTV lokap papar kejadian tahanan larikan diri ikut jeriji besi di Kota Kinabalu

BACA LAGI: [VIDEO] Rusuhan pusat tahanan imigresen Bidor: 131 terlepas, seorang maut kemalangan di PLUS

Abang Zainal Abidin memaklumkan, kes kini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh menggunakan senjata dan juga di bawah Seksyen 427 kanun yang sama iaitu khianat.

Ujarnya, bagi kesalahan pertama, jika disabitkan kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya.

“Sementara bagi kesalahan kedua membawa kepada hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, selain BSJD Padawan, operasi mengesan dan tangkapan kesemua suspek turut dibantu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

"Tangkapan susulan ke atas suspek lain dapat dilakukan dalam tempoh waktu terdekat," katanya.

Sebelum ini, tular video memaparkan kejadian rusuhan melibatkan sekumpulan lelaki yang bersenjatakan objek tajam dan batang besi yang dimuat naik dalam aplikasi Telegram kira-kira pukul 11.05 malam pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram