Terkait watak 'penyondol', 5 jelitawan popular ada cara bebaskan diri dicop penggoda


  • Hiburan
  • Khamis, 02 Feb 2023

Hanya kerana jelita dan seksi, pelakon wanita dengan personaliti begini sering diberi kepercayaan untuk membawakan watak penggoda dalam sesebuah karya.

WATAK antagonis antara tarikan dan tentunya mendapat perhatian peminat bagi sesebuah naskhah sekali gus menjadi perbualan hangat dalam kalangan warga maya serta mewujudkan perasaan kesal.

Kadangkala perasaan marah penonton terhadap watak itu terbawa-bawa sehingga ke alam realiti di mana artis terbabit dilontarkan dengan kata-kata kesat dan dianggap memiliki perwatakan begitu.

Sekiranya perkara tersebut berlaku, kehebatan pelakon dalam menghidupkan watak itu nyata tidak dapat disangkal.

Malahan, ketika ini hal wanita perosak rumah tangga atau lebih terkenal dengan gelaran 'penyondol' seperti diketengahkan di layar kaca bagaikan isu panas diperkatakan ramai.

Justeru Majoriti senaraikan barisan jelitawan popular tanah air yang terkenal dengan watak sebagai penggoda atau 'parasit' rumah tangga.

Nadia Brian

majoriti2023 (16)

Siapa yang tidak terpesona dengan kecantikan pelakon jelita berdarah kacukan Melayu-Australia, Nadia Brian.

Kelebihan itu sahaja sudah cukup membuatkan banyak hati yang jatuh cinta tatkala bertentang mata dengan wanita berusia 32 tahun itu.

Nadia sering diberikan membawa watak penggoda atau orang ketiga yang sering menggoda lelaki seperti Lelakimu Yang Dulu, Kifarah Mistik, Ratu Kala Jengking.

Bagaimanapun disebabkan sering membawa watak sebegitu, Nadia memilih untuk mengubah kompas kerjayanya dengan memilih watak berbeza agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Mona Allen

majoriti2023 (18)

Pelakon jelita, Mona Allen yang juga merupakan isteri kepada Pekin Ibrahim pernah mendapat kecaman dan mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penonton apabila dia membawakan watak Shima dalam Tarantula X.

Bukan sahaja menyebabkan kemarahan penonton, tetapi turut menjadikan namanya semakin dikenali khalayak.

Perasaan marah penonton membuktikan lakonan ibu seorang cahaya mata ini benar-benar berkesan sehingga berbekas di hati penonton.

Tasha Shilla

majoriti2023 (21)

Ibu kepada dua cahaya mata, Tasha Shilla memulakan kerjaya dalam bidang seni ketika berusia belasan tahun dan mempunyai darah kacukan Melayu-Jawa.

Tasha muncul dalam filem pertama, KL Menjerit 1 sebelum muncul dalam Ratu The Movie dan filem kontroversi, Klip 3GP.

Wajah jelita dan perwatakan yang manja membuatkan dia sering mendapat watak sebagai wanita penggoda.

Antara drama yang memperlihatkan watak mengodanya, Kau Yang Pertama, Mimpi Sabarina dan Kamar Kamariah.

Setelah sering membawakan watak penggoda, Tasha menegaskan dia tidak lagi mahu membawakan watak sebegitu lagi.

Status sebagai ibu dan isteri membuatkan dirinya semakin matang dan merasakan perkara tersebut tidak lagi sesuai untuk dia lakonkan.

Syatilla Melvin

majoriti2023 (20)

Pelakon Syatilla Melvin pernah menyifatkan membawakan watak sebagai wanita penggoda dan kaki kelab malam yang sering diterimanya sebagai cabaran selain tidak perlu ditolak begitu sahaja.

Baginya setiap watak mempunyai cabaran tersendiri dan perlu diterjemahkan dengan baik agar kelihatan realistik dan lebih hidup.

Beberapa drama yang pernah dibintanginya ialah Ariana Rose, Kalau Bukan Aku, Julia, dan BFF: Teman Tapi Mesra.

Shiqin Kamal

majoriti2023 (19)

Seorang lagi pelakon wanita jelita, Shiqin Kamal terkena tempias dan sering diberikan untuk membawa watak sebagai wanita penggoda. Bagaimanapun pelakon filem Lagenda Budak Setan itu enggan melakukannya.

Berbeza pandangannya dengan Syatilla, Shiqin sebaliknya memilih untuk menolak tawaran membawakan watak tersebut kerana dianggap merendahkan martabat wanita apatah lagi digelar sebagai perampas, penggoda atau perosak rumah tangga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram