[VIDEO] Rusuhan pusat tahanan imigresen Bidor: 131 terlepas, seorang maut kemalangan di PLUS


  • 112
  • Jumaat, 02 Feb 2024

Seorang daripada tahanan terbabit juga dipercayai maut selepas terbabit dalam kemalangan di sepanjang Kilometer 335 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

SERAMAI 131 tahanan Rohingya dan Myanmar di pusat tahanan sementara Imigresen di Bidor melarikan diri selepas rusuhan tercetus di pusat itu pada Khamis malam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, kesemua suspek adalah lelaki, terdiri daripada 115 Rohingya dan 16 warga Myanmar.

Menurutnya, seorang daripada tahanan terbabit juga dipercayai maut selepas terbabit dalam kemalangan di sepanjang Kilometer 335 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

BACA LAGI: [VIDEO] Rakaman CCTV lokap papar kejadian tahanan larikan diri ikut jeriji besi di Kota Kinabalu

BACA LAGI: Rakyat Perak bimbang tahanan lolos beri ancaman, tak tenang sambut Aidilfitri

“Pusat gerakan polis Tapah menerima panggilan kira-kira pukul 9.50 malam Khamis mengatakan 131 daripada tahanan melarikan diri dari depoh.

“Pencarian sedang dilakukan oleh Batalion Ketiga Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kontinjen polis negeri dan JSJ Bukit Aman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan, dan usaha mengesan tahanan yang melarikan diri sedang dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi pusat operasi di talian 05-401 5222,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 100 anggota tambahan terdiri daripada pasukan Imigresen dan PGA terlibat bagi mengesan semula kesemua 130 tahanan yang lolos dalam kejadian tersebut.

Katanya, kumpulan tambahan berkenaan sudah digerakkan sejak pagi Jumaat bagi meneruskan operasi pencarian.

Beliau memaklumkan, dengan perkembangan itu, operasi berkenaan kini membabitkan seramai 275 anggota daripada pelbagai agensi seperti Imigresen, PGA dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang sudah dikerahkan sejak Khamis malam untuk mengesan suspek yang melarikan diri.

“Jabatan Imigresen dengan dibantu beberapa agensi lain sedang giat menjalankan operasi menangkap semula 130 daripada 131 banduan yang melarikan diri pada pukul 9.50 malam Khamis," ujar beliau. — The Star/MANJIT KAUR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram