SEORANG wanita orang kurang upaya (OKU) rentung manakala tiga mengalami kecederaan melecur dan seorang pengsan dalam kejadian kebakaran melibatkan 12 buah rumah di Kampung Kalansanan, Inanam, Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11.10 malam Khamis.
Pasukan bomba dari Balai Kota Kinabalu, dibantu dari Balai Tuaran bergegas ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian, Komander Operasi, Ketua Zon Kota Kinabalu PgKB I Misran Bisara melaporkan kebakaran melibatkan sebanyak 12 buah rumah jenis tidak kekal telah terbakar 100 peratus.
“Terdapat lima orang mangsa terlibat dalam kebakaran iaitu seorang mangsa OKU rentung manakala tiga orang mangsa mengalami kecederaan (melecur) dan seorang lagi pengsan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, mangsa wanita yang rentung dikenali sebagai Idam Hamid berumur 50 tahun, manakala dua mangsa perempuan berusia antara 16 dan 23 tahun serta dua mangsa lelaki berusia 20 dan 22 tahun.
Operasi pemadaman dijalankan dan terkawal pada pukul 1.16 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4:50 pagi tadi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram