SEIRING dengan arus pemodenan dan teknologi maklumat yang semakin berkembang, manusia dilihat lebih banyak bergantung kepada gajet untuk menguruskan tugasan harian.
Malah, sudah menjadi kebiasaan pada zaman sekarang, semua peringkat umur mempunyai akses yang mudah terhadap gajet, termasuklah kanak-kanak.
Tidak dinafikan, pendedahan kepada pendidikan teknologi digital adalah penting dalam perkembangan kehidupan anak-anak.
Namun, jika situasi ini tidak dikawal, ia boleh mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
Antara kesan yang boleh berlaku sekiranya ibu bapa gagal mengawal penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak termasuklah berisiko menghadapi masalah lambat bercakap dan mudah marah atau mengamuk apabila tidak diberikan gajet.
Selain itu, jika tidak dikawal, kanak-kanak dikhuatiri mengalami kelewatan perkembangan fungsi kognitif (memahami dan mentafsir) terutama perkembangan bahasa dan pertuturan.
BACA LAGI: Terlalu lama main gajet punca anak lembab belajar, ibu bapa patut laksana 5 langkah ini
BACA LAGI: [VIDEO] Ketagih guna gajet, budak 'scroll' angin sambil menangis macam kena rasuk
Ibu bapa yang merupakan individu paling dekat dengan anak-anak seharusnya memainkan peranan penting dalam mengawal tindak-tanduk mereka.
Ada yang berpendapat, hukuman atau denda merupakan salah satu kaedah untuk mendidik anak-anak supaya lebih berdisiplin.
Seperti video yang tular baru-baru ini, nampak gayanya lawatan sambil belajar ke Muzium Penjara Malaysia di Bandar Hilir, Melaka memberikan pengajaran tidak boleh dilupakan buat anak-anak yang mengunjungi lokasi tersebut.
Apa tidaknya, bukan sahaja berpeluang mendengar pencerahan dan demonstrasi hukuman sebatan, malah mereka juga sempat 'disekolahkan' oleh seorang warden penjara.
Dengan kelantangan suara, ditambah misai tebalnya, siapa sahaja yang tidak gerun melihatnya?
Menerusi video tersebut, petugas yang dikenali sebagai Tuan Nizar dilihat sedang memberikan penerangan dan demonstrasi hukuman sebatan yang bakal dikenakan terhadap tertuduh mengikut perundangan negara.
Namun yang menjadi perhatian warga maya adalah tindakannya cuba menyakat kanak-kanak yang melawat muzium berkenaan.
Mereka berada dalam keadaan ketakutan selepas melihat Tuan Nizar merotan punggung sebuah patung dengan begitu kuat.
Tuan Nizar menasihatkan kanak-kanak yang hadir supaya mereka sentiasa patuh pada arahan ibu bapa.
Lebih menggamatkan keadaan apabila beliau sendiri menghampiri pengunjung dan memberi amaran kepada kanak-kanak supaya tidak mengingkari perintah ibu bapa. Jika ingkar, maka sebat adalah hukumannya!
Beliau difahamkan sengaja menakutkan budak-budak tersebut agar mereka mengambilnya sebagai satu iktibar.
Malah, seorang budak perempuan berjanji untuk tidak lagi menghabiskan waktunya untuk bermain telefon pintar atau permainan video.
Mungkin bagi segelintir pihak, ada yang menganggap tindakan warden tersebut agak kasar dan boleh memberi impak negatif kepada mental anak.
Bagaimanapun, seorang bapa mengakui bahawa anak-anaknya mula menunjukkan perubahan setelah pulang dari lawatan ke muzium tersebut.
Mohamad Fadil Noraffandi, 39, berkata, anak-anaknya gemar menggunakan telefon pintar untuk menonton YouTube dan bermain permainan video.
"Saya boleh katakan mereka menunjukkan hampir 90 peratus perubahan selepas ditegur tempoh hari.
"Mereka tidak lagi menghabiskan masa berjam-jam untuk bermain telefon, malah bateri telefon juga sekarang sudah lambat habis. Kalau dulu, cepat saja habis bateri sebab masing-masing suka pegang.
"Alhamdulillah mereka semakin mendengar kata, mungkin masih terngiang-ngiang 'penangan' Sarjan Misai," katanya kepada Majoriti.
Mohamad Fadil sempat bergambar bersama Tuan Nizar semasa melawat Muzium Penjara Malaysia pada Disember lalu.
Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, dia memanfaatkan musim cuti persekolahan pada Disember tahun lalu untuk membawa anak-anaknya berjumpa Tuan Nizar.
Ujarnya, selain memberi peluang melihat dan merasai pengalaman berada di Muzium Penjara Malaysia, Mohamad Fadil mahu memberi pengajaran kepada anak-anaknya supaya menjadi insan yang taat kepada ibu bapa.
"Rezeki saya sempat menghadiri sesi demonstrasi tersebut. Anak saya juga ditegur oleh Tuan Nizar kerana sering bermain gajet.
"Saya melihat pendekatan ini sangat baik terutamanya untuk mendisiplinkan anak kecil.
"Nampak macam garang dan kasar, tetapi itulah cara didikan yang betul, sama seperti zaman dulu-dulu," katanya sambil ketawa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram