Konten unsur lucah di platform video kanak-kanak, ibu bapa perlu pantau gajet anak


  • Massa
  • Ahad, 09 Apr 2023

Video-video berunsur lucah dan jelek dimuat naik di media sosial menggunakan watak animasi tempatan seperti Upin & Ipin dan BoboiBoy. — Facebook.

SALURAN video YouTube Kids yang sebelum ini tempat khas kanak-kanak untuk menonton konten animasi menyeronokkan kini menjadi lubuk pornografi lembut (soft porn) dan unsur keganasan tidak lagi selamat ditonton oleh golongan tersebut.

Pemilik akaun Twitter dengan nama @AbudiAlsagoff menerusi bebenangnya memaparkan sebuah video menceritakan tentang bagaimana lebih 100,000 pemilik-pemilik akaun YouTube Kids yang didakwa sebagai pemangsa kanak-kanak memuat naik kandungan video yang tidak sesuai ditonton oleh golongan kanak-kanak menggunakan watak animasi terkenal seperti adiwira Spiderman dan sebagainya

Malah lebih buruk lagi, @AbudiAlsagoff berkata, terdapat juga kandungan berunsur jelek dimuat naik dengan menggunakan karakter animasi tempatan seperti Upin & Ipin yang pernah tular pada satu masa dahulu.

"Hakikatnya YouTube Kids sudah tidak selamat. Jika kita rasa boleh beri (video) YouTube Kids pada anak-anak, ketahuilah, tapis macam mana sekali pun akan ada konten-konten 'soft porn' terkeluar.

"Kalau pergi ke tetapan kandungan dan set 'restrict' pun, masih ada (video) yang menyelinap keluar juga," katanya dalam ciapan pada Ahad.

83CA3B95-D66E-4722-8BC4-41B4BA815B9F

Kanak-kanak kini terdedah dengan pelbagai kandungan video yang tidak sesuai ditonton oleh kelompok umur mereka.

Sementara itu, kerajaan pada bulan lalu memaklumkan pihaknya bersedia bagi meminda tiga akta sebagai penambahbaikan perlindungan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual dan menjamin keadilan kepada golongan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, undang-undang tersebut adalah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792); Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676) dan Akta Keterangan 1950 (Akta 56).

Beliau ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Mac lalu berkata, pindaan tersebut akan dilaksanakan melalui dua fasa dengan fasa pertama membabitkan pembentangan pindaan Akta 792 dan Akta 676 di Parlimen pada sesi kali ini, manakala Akta 56 dilaksanakan pada sesi akan datang selepas sesi libat urus dengan pihak berkepentingan selesai dijalankan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram