'Pinjam' mata suami demi tulisan braille, Masitah tidak sangka dirinya jadi inspirasi


Semangat Masitah tidak pernah luntur meskipun kini perlu menjalani kehidupan dengan sebagai individu cacat penglihatan.

SEPANJANG 30 tahun diberi nikmat penglihatan yang bukan sahaja memberinya kesempatan menikmati keindahan ciptaan TUHAN.

Segalanya mampu diuruskan sendiri tanpa bantuan sesiapa terutama melibatkan soal dokumentasi dan pengurusan syarikat.

Bagaimanapun segalanya itu sekelip mata berubah apabila Masitah Mohd Affandy, 32, terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Sabak Bernam, Selangor ke Johor Bahru, Johor.

Diberi peluang untuk menghela nafas tanpa penglihatan, Masitah tidak melihat itu sebagai kekangan sehingga membataskan diri untuk ‘terpuruk’ dalam kemurungan.

Tanpa membuka ruang untuk membiarkan kesedihan beraja di hati, Masitah tetap luangkan masa ke pejabat sekitar satu atau dua kali seminggu.

Tidak dinafikan, bagi melancarkan tugasnya, Masitah perlu meminta bantuan daripada pembantu, suami atau pekerja lain untuk ‘meminjamkan’ mata mereka membaca dokumen.

majoriti2023 (15)

Masitah tetap masih mampu tersenyum dan menerima takdir ILLAHI dengan berlapang dada dan ikhlas menerima takdir.

“ALLAH rezekikan selepas kemalangan syarikat berjalan secara auto pilot dan diuruskan lebih baik berbanding ketika saya ada.

“Sebelum braille, saya meminta bantuan daripada individu sekitar untuk membaca dan mendapat pengesahan mengenai dokumen tersebut.

“Bukan sahaja soal kerja malah, beberapa perkara lain seperti membuat panggilan, menjawab panggilan, menghantar mesej, saya minta daripada suami atau pembantu untuk melakukan,” katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, Masitah meluahkan rasa keterujaan untuk mempelajari braille yang sebelum ini kurang mencuri perhatiannya.

Dalam pada melepaskan ketawa kecil, Masitah sangat positif terhadap kesediaan untuk mengharungi kehidupan baharu.

“Saya tidak sabar untuk masuk kelas braille nanti dan teruja untuk mempelajari benda baharu. Sebelum ini kita tidak pernah ambil tahu mengenai braille, tetapi ALLAH memberi rezeki.

“ALLH hendak mempelajari benda baru. Jujur saya sangat teruja untuk belajar benda baharu dan menggunakan gajet serta mempelajari cara menggunakan telefon pintar untuk kegunaan orang cacat penglihatan.

“Saya anggap ini sebagai satu pengembaraan baharu dan menarik untuk dilalui memandangkan hidup ini terlalu pendek,” jelasnya.

majoriti2023 (14)

Masitah teruja untuk menjalani proses pembelajaran tulisan braille tidak lama lagi.

Inspirasi

Melanjutkan perbualan, Masitah kongsikan kenangan dirinya bertemu dengan seorang ibu dengan dua cahaya mata.

Katanya, salah seorang anak wanita berkenaan berusia 26 tahun menghidp penyakit SLE atau Systemic Lupus Erythematosusu iaitu penyakit autoimum apabila antibodi terhasil menyerang tisu badan sendiri.

Masitah seperti tidak percaya bahawa apa yang berlaku ke atas dirinya mampu dijadikan inspirasi kepada individu lain.

“Waktu itu saya sedang memenuhi jemputan sebuah stesen televisyen dan didatangi oleh tiga individu.

“Saya dimaklumkan wanita itu menghidap SLE itu sebelum ini berasa putus asa dan kecewa, tetapi kembali bersemangat selepas menonton video saya.

“Masya-ALLAH, dia diuji TUHAN menghidap SLE selama tujuh tahun, tetapi saya ini hanya baru sahaja. Melihat itu rasa diri belum layak untuk jadi inspirasi kerana sepatutnya orang sebegitu yang patut dijadikan inspirasi,” terangnya.

Masitah dijadualkan akan menjalani rawatan lanjutan pada September depan bagi membolehkan dirinya 'belajar' untuk berjalan semula berikutan tulang paha patah.

Untuk rekod Masitah merupakan seorang usahawan menjadi terkenal selepas video perkongsiannya yang positif selepas disahkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) penglihatan akibat kemalangan jalan raya beberapa hari sebelum Ramadan lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram