KEHIDUPAN dunia tanpa sempadan tidak hanya memberi kemudahan kepada manusia untuk mendapatkan maklumat merentas pelosok dimensi geografi.
Bagaimanapun kelebihan itu mampu mendatangkan keburukan apabila kandungan terlarang seperti bahan lucah juga dapat diakses dengan mudah.
Perkara itu didedahkan Pakar Kanak-Kanak, Mohd Zaqrul Razmal yang memberitahu keterbukaan ibu bapa dalam menyediakan gajet kepada anak-anak pada usia muda sebagai salah satu punca perkara itu berlaku.
Katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan di rumah terutama mengetahui kandungan tontonan kanak-kanak dan platform media sosial mereka.
"Bahan pornografi sangat mudah untuk ditonton oleh kanak-kanak dan perkara itu bukan sesuatu yang sukar lebih-lebih lagi apabila semuanya kini sudah berada di hujung jari.
"Bukan sahaja visual, bahan grafik juga boleh didapati dengan hanya menaip perkataan seks atau sex di enjin carian.
"Kanak-kanak yang mendapat pendedahan awal akan menyebabkan rangsangan dan seterusnya mengakibatkan ketagihan," ujarnya kepada Majoriti.
Kemudahan media sosial dan medium dalam talian membuatkan kanak-kanak terdedah kepada kandungan tidak senonoh ditonton mereka,
Mohd Zaqrul bagaimanapun mengakui mengadakan kawalan terhadap bahan lucah dalam talian bukan satu tugas mudah.
"Biarpun sekatan pautan kawalan ibu bapa diaktifkan, tetapi kandungan sebegitu tetap juga ada dan boleh didapati dengan menukar perkataan Search Engine Optimization (SEO)," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zaqrul berpendapat pendedahan awal berkaitan pendidikan seks dalam kalangan kanak-kanak penting agar mereka mengetahui bila dibolehkan untuk melakukan hubungan badan.
Namun, fokus pembelajaran perlu berlandaskan kepercayaan agama Islam dan adab masyarakat yang tidak melakukan hubungan intim sebelum berumah tangga.
"Pendidikan seks itu bukan bermaksud mengajar kanak-kanak tentang cara melakukan seks atau bagaimana melakukannya dengan perlindungan seperti pemakaian kondom.
"Pendidikan seks itu perlu selari dengan ajaran agama dan budaya agar mereka mengetahui bahawa perkara itu boleh dilakukan selepas berkahwin," jelasnya.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menjadi mangsa ketagihan pornografi akibat pengaruh rakan di plafform permainan online.
Kanak-kanak itu awalnya diugut untuk menghantar video melakukan onani jika tidak mahu disekat atau kehilangan profil dalam permainan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram