'Ini bukan London', MPKj diseru jawab perpustakan awam Bangi guna 'Library'


  • Tular
  • Sabtu, 03 Feb 2024

Tangkap layar PPAS Bandar Baru Bangi, Hulu Langat, Selangor didakwa menggunakan papan tanda dalam Bahasa Inggeris.

PERPUSTAKAAN Awam Selangor (PPAS) Daerah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, Selangor didakwa menggunakan papan tanda Bahasa Inggeris dengan perkataan 'Library'.

Meskipun membawa maksud sama dengan perkataan perpustakaan, namun penggunaan bahasa selain daripada Bahasa Malaysia itu telah mengundang pertikaian dalam kalangan masyarakat yang menganggap ia sebagai satu bentuk penjajahan Barat yang masih bertapak dalam negara kita.

Malah, peranan pusat bacaan itu yang sepatutnya memartabatkan bahasa kebangsaan juga dikatakan telah lari daripada konsep asalnya kerana menggunakan bahasa asing.

BACA LAGI: Lebih 10,000 buku milik Gopal Sri Ram disumbang kepada perpustakaan UM

Perkara itu dikongsikan menerusi Facebook Khairul Hakimin Muhammad yang nyata terkejut dengan situasi tersebut.

"Kejutan besar di Bandar Baru Bangi, Perpustakaan Awam Bandar Baru Bangi kini dinamakan dengan nama Bahasa Inggeris, 'Library'.

"Sedang kita berusaha nak memandaikan semua dalam menggunakan Bahasa Melayu sebaik-baiknya, ini pula jadi," ujarnya.

Dalam pada itu, warganet di ruangan komen turut sependapat dengan individu berkenaan yang menyifatkan ia telah menjatuhkan martabat bahasa kebangsaan di Malaysia dan menggesa agar pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tampil menjawab berhubung hal itu.

"Ini bukan soal 'dual language', ini soal memartabatkan Bahasa Melayu di tempat yang sepatutnya, kita bukan di London, Sydney ataupun New York, kita di Bangi," kata Bakri Shafiei.

BACA LAGI: IPTA kini hanya jadi alat politik kepartian — Maszlee

"Untuk menjatuhkan sesebuah bangsa dan negara, kita lemahkan jati diri anak bangsanya dahulu, hal yang dianggap remeh itulah yang akan jadi barah," ujar Nicky Bill.

"Sedihnya Malaysia semakin celaru identiti, ini baru bahasa belum hak yang lain, bila bersuara mula bangsa lain kecam," tambah Shikin Hanipah.

"MPKj kena bertanggungjawab, isu ini bukan perkara kecil sebab ia melibatkan martabat negara, walhal kita berada di Malaysia bukan negara barat," jelas Farahainkalis.

Belum ada sebarang kenyataan dari pihak PPAS terbabit mahupun MPKJ berhubung hal itu setakat ini dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak mencetuskan provokasi berkaitan perkara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram