BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengkritik fungsi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada hari ini yang didakwa hanya menjadi alat politik parti tertentu.
Selain itu, katanya, IPTA juga kini sudah tidak lagi mempunyai hala tuju yang jelas serta kepimpinan akademik yang bervisi.
"Lantikan politik melata, malah segala usaha reformasi mengangkat wibawa IPT di seluruh negara terencat.
"Budaya lama kembali menjalar dan berakar semula... Belasungkawa buat pendidikan tinggi negara," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Sabtu.
Maszlee turut berkongsi, ketika menjadi Menteri Pendidikan, kementeriannya melalui Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) pernah bekerjasama dengan Durham University, United Kingdom untuk membawa pulang naskah digital manuskrip-manuskrip berkaitan Alam Melayu, Persekutuan Tanah Melayu, Malaya dan Malaysia.
Jelas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, usaha berkenaan merupakan satu cara untuk mengantarabangsakan IPT di Malaysia serta inisiatif dalam menjadikan IPT di Malaysia sebagai pusat rujukan serantau dalam pelbagai bidang, serta pembina ketamadunan dunia moden.
"Menurut rencananya, Unisza merancang untuk menubuhkan Pusat Kajian Manuskrip secara dalam talian dan menjadi pusat serta tempat rujukan kajian manuskrip Islam yang terbesar di Asia Tenggara.
"Dijangka juga Unisza akan melakukan kerjasama yang serupa dengan Sorbone Univ Paris, British Library UK, Leiden Univ Belanda dan lain-lain pusat pengajian tinggi luar.
"Ini cerita dua tahun lalu. Cerita zaman silam. Cerita lama..." ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram