SEORANG remaja lelaki maut, manakala dua adiknya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh sebuah kereta di Jalan Telok Gong, Pengkalan Balak, Alor Gajah, Melaka pada Khamis.
Mangsa, Mohamad Iqmal Daniel Iskandar, 16, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
BACA LAGI : Dirempuh kereta dari belakang sampai tercampak dalam parit, budak perempuan 5 tahun maut di Bagan Serai
BACA LAGI : Kaki terputus, pemuda maut kemalangan motor di Kampung Gajah
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC bersama dua adiknya yang berusia 11 dan 13 tahun dalam perjalanan dari Kuala Sungai Baru menghala ke Masjid Tanah.
“Nahas dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Axia dari arah sama yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun telah membelok ke kiri untuk memasuki simpang ke rumahnya.
“Mangsa yang datang dari belakang telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta tersebut dan akibat pelanggaran itu, penunggang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Arshad berkata, dua pembonceng motosikal terselamat, namun mengalami kecederaan di mulut serta kaki dan telah dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan lanjut.
Katanya lagi, ketika kejadian, mangsa dilaporkan dalam perjalanan menghantar dua adiknya ke sekolah.
“Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, mahupun saksi bebas yang melihat kemalangan tersebut.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat, manakala pemandu kereta diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.
"Kenderaan terlibat akan di bawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram