'Mana satu betul?' warga pendidik keliru arahan berbeza tarikh akhir pengisian PADU


  • Massa
  • Khamis, 01 Feb 2024

PADU bertujuan memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial.

SISTEM Pangkalan Data Utama (PADU) yang mengandungi profil individu dan isi rumah membabitkan warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia sudah pun dilancarkan pada 2 Januari lalu.

PADU adalah pangkalan data komprehensif mengandungi data mikro yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan.

Tidak dapat dinafikan, apa sahaja pemberian maklumat berbentuk data peribadi individu pasti akan mendapat reaksi yang pelbagai.

Daripada masalah sistem tidak mesra pengguna, pendaftaran mengelirukan sehinggalah terbaharu, arahan tarikh akhir pengisian sistem yang berbeza.

Perkara itu diluahkan segelintir warga pendidik yang menyatakan kekeliruan mereka terhadap tarikh akhir pendaftaran sistem tersebut.

Ini kerana mereka mendapati Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing menyatakan tarikh tutup yang berbeza dengan tarikh direkodkan dalam laman web PADU sendiri.

"Tarikh tutup di laman web PADU 31 Mac, KPM kata 29 Februari dan JPN (31 Januari)," menurut satu hantaran di Facebook Kami Guru Malaysia pada Khamis.

Hantaran tersebut diikuti dengan luahan para guru yang turut berdepan dengan masalah sama.

Malah ada yang mendakwa, keadaan itu berlaku disebabkan setiap jabatan seolah-olah mahu membuktikan tahap efisien masing-masing.

"Berlumba-lumba bagi tarikh berbeza, yang terpaling nak cepat," tulis Haizatul Akma Shahdan.

BACA LAGI : PM Anwar lancar PADU, semak semula data apa nak kena isi elak tercicir subsidi

PUTRAJAYA, 2 Jan -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kanan) melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Turut sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kiri), Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (dua, kanan), Menteri Digital Gobind Singh Deo (dua, kiri) dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (kiri).  PADU, yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, merupakan pangkalan data sosio ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan data dari jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

PADU yang mengandungi profil individu dan isi rumah membabitkan warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia sudah pun dilancarkan pada 2 Januari lalu.

BACA LAGI : Pendaftaran PADU tidak mesra pengguna, warga emas desak kerajaan buat kelas tutorial guna sistem online

Sementara itu, pengguna akaun dengan nama Izzuan Muhd turut bersetuju dengan Haizatul Akma.

"Mengarut sahaja JPN, adakah nak bersaing dengan JPN negeri nak tunjuk siapa lagi cepat siap?

"Siapa cepat, kementerian puji. Jika kementerian siap awal daripada kementerian lain, menteri puji.

"Perangai bersaing isi siap awal ini sudah merebak. Dulu isi markah awal, boleh bangga dengan sekolah lain, negeri lain," katanya.

Sementara itu, Siti Hajar Ismail pula meluahkan rasa kecewanya kerana tidak dapat mengisi sistem tersebut mengikut tarikh yang telah ditetapkan atas faktor teknikal.

"Saya mula-mula tidak boleh isi, siap buat laporan dan hubungi PADU. Dia jawab aduan perlu tunggu tiga hingga 10 hari bekerja, mulalah saya marah.

"Ehh..kenapa lama sangat? Bukankah tarikh tutup 31 Januari? (Kemudian) dia kata sabar puan, tarikh tutup 31 Mac," tulisnya.

Untuk rekod, PADU adalah pangkalan data komprehensif yang mengandungi data mikro yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan.

Ia dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam daripada tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) yang turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi lain.

Salah satu kepentingan mendaftar sistem berkenaan adalah untuk memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial melalui sistem PADU.

Sehubungan itu, setiap isi rumah perlu memastikan maklumat diri mereka disahkan dan dikemas kini dalam sistem PADU sehingga 31 Mac ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram