Pendaftaran PADU tidak mesra pengguna, warga emas desak kerajaan buat kelas tutorial guna sistem online


  • Massa
  • Khamis, 04 Jan 2024

Penjawat awam, Ahmad Zakir Ahmad, 29, (kiri) mendaftar dan mengemaskini maklumat peribadi di dalam PADU di kaunter Pejabat Operasi Negeri Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Selangor, Bangunan Darul Ehsan, Selangor pada Khamis. — Bernama

PANGKALAN Data Utama (PADU), yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lalu masih lagi menjadi bualan rakyat.

Manakan tidak, walaupun ia dilancarkan memberi manfaat kepada rakyat, rata-rata mendapati sistem yang baru dilancarkan itu agak mengecewakan.

Hasil pemerhatian Majoriti di laman media sosial berasakan sistem tersebut tidak mesra pengguna, selain pendaftaran pangkalan data PADU agak mengelirukan terutamanya bagi warga emas.

Seorang warga emas, Diana Starvision berkata, dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan sistem tersebut

"Sebagai seorang rakyat Malaysia yang hampir berumur 70 tahun, saya rasa saya tidak mampu mengikut sistem teknologi terkini yang sentiasa berubah," tulisnya.

Pendapatnya itu turut dipersetujui seorang lagi pengguna, Kathy Liew.

"Semua menteri berlumba-lumba untuk menggunakan teknologi digital tetapi entah bagaimana terlupa tentang kami warga emas yang kebanyakannya tidak begitu celik teknologi.

"Malah ada yang tidak mampu membeli telefon bimbit atau komputer riba," tulisnya.

BACA LAGI : PM Anwar lancar PADU, semak semula data apa nak kena isi elak tercicir subsidi

Seorang lagi warga emas, Vasantradevi Samy pula mempunyai pendapat yang berbeza mengenai sistem PADU tersebut.

"Sebenarnya sistem PADU ini bagus dan kami warga emas bertuah untuk menyertai teknologi baru, tetapi masalahnya ialah mengapa tidak seorang menteri memberi cadangan untuk mengadakan kelas untuk mengajar warga emas tentang cara menggunakan sistem dalam talian di seluruh Malaysia," katanya.

Sementara itu, Anis Zulkeifli turut mencadangkan agar kerajaan mengambil langkah yang lebih drastik bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan untuk mendaftar di PADU.

“Kebanyakan masalah yang dihadapi warga emas adalah dalam pengendalian teknologi.

"Walaupun mereka boleh melakukannya secara manual namun ia akan mengambil masa yang lama. Sepatutnya warga emas juga perlu didedahkan dengan teknologi," tulisnya.

Untuk rekod, PADU adalah pangkalan data komprehensif yang mengandungi data mikro yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan.

Ia dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam daripada tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) yang turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi lain.

Dalam erti kata lain, PADU merupakan sistem yang menggabungkan lebih 200 pangkalan data untuk menyelaras pengumpulan maklumat negara secara berpusat dan bersepadu.

Salah satu kepentingan mendaftar PADU adalah untuk memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial melalui sistem PADU.

Sehubungan itu, setiap isi rumah perlu memastikan maklumat diri mereka disahkan dan dikemas kini dalam sistem PADU sehingga 31 Mac ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram