BERMULA pada Khamis, pengguna MySejahtera boleh menggunakan MyDigital ID untuk log masuk ke aplikasi tersebut.
Ciri log masuk menggunakan MyDigital ID tersedia dalam kemas kini terbaharu aplikasi MySejahtera yang boleh dimuat naik di peranti Android dan iPhone melalui Google Play Store, Apple Store dan Huawei AppGallery.
Untuk menggunakan MyDigital ID, pengguna peranti pintar hanya perlu mendaftar terlebih dahulu.
Tetapi, tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan MyDigital ID?
Untuk rekod, kerajaan dijangka mula melaksanakan MyDigital ID pada orang awam bermula Mac 2024 dan pada ketika ini pendaftaran tersebut dibuka kepada kakitangan dan pegawai kerajaan sahaja.
MyDigital ID juga dijangka akan memudahkan lagi proses pengesahan identiti yang kini bergantung kepada penyedia pihak ketiga luar negara oleh pelbagai aplikasi, termasuk aplikasi perbankan dan dompet digital sekali gus memudahkan penyeragaman penggunaan identiti rentas pelbagai perkhidmatan.
MyDigital ID dilaksanakan bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.
Dalam erti kata lain, MyDigital ID akan menjadi suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital dengan menggunakan teknologi terkini biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah dan iris (mata) bagi rakyat menjalankan urusan dalam talian.
Pada masa sama, ia dilihat akan memudahkan rakyat dalam libat urus urusan kerajaan sekali gus mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian yang boleh merugikan masyarakat dan negara.
Apakah kelebihan MyDigital ID?
1.Pengesahan diri yang sah dan selamat.
2.Kemudahan log masuk tunggal (Single Sign-on) untuk pelbagai aplikasi.
3.Selamat, pantas dan mudah bagi tujuan transaksi dalam talian.
4.Memudahkan akses ke perkhidmatan kerajaan dalam talian.
6.Mengurangkan risiko penipuan identiti dalam talian.
7.Menghapuskan pelbagai jenis kaedah pengenalan diri dalam talian
Di sebalik kelebihan itu, ada segelintir warga maya yang meluahkan kerisauan untuk menggunakan MyDigital ID dalam aplikasi MySejahtera tersebut.
Hasil pemerhatian Majoriti di media sosial, rata-rata pengguna berasakan pengenalan MyDigital ID ada sedikit kelemahan yang boleh ditambah baik untuk memudahkan pengguna.
Menurut Amir Isyak, pelaksanaan MyDigital ID berkenaan tidak ubah seperti Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang mengelirukan rakyat.
"Apa kelebihan MyDigital ID ini, sehingga sekarang masih keliru, sama seperti sistem PADU. Sepatutnya kerajaan memainkan peranan bantu perjelas fungsi sebenar MyDigital ID.
"Sekarang ini MyKad (kad pengenalan diri) yang kita guna apa fungsinya?," persoalnya lagi.
Pada masa sama, Sarizal JJ turut mempertikaikan kemas kini pelaksanaan MyDigital ID di aplikasi MySejahtera tersebut.
"Berapa ramai yang masih menggunakan MySejahtera dan apa kegunaannya? Sehingga sekarang saya masih tidak melihat kelebihan MyDigital ID ini," tulisnya.
Untuk makluman ramai, MyDigital ID adalah salah satu inisiatif kerajaan.
Rakyat disarankan untuk mendaftar dan menggunakan MyDigital ID demi menjamin keselamatan dari ancaman siber ke atas maklumat diri dan juga akses ke aplikasi-aplikasi yang digunakan.
Ia dibangunkan sebagai pemudah cara untuk pengesahan identiti pengguna dalam talian dengan selamat dan sah.
Haruslah diingatkan, MyDigital ID mempunyai tarikh luput dan ia tidak menggantikan MyKad dalam urusan di kaunter fizikal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram