KEWUJUDAN sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan kerajaan bakal membantu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam usahanya bagi mengukuhkan lagi perlindungan sosial di dalam negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, perkembangan tersebut diliihat mampu merintis perubahan terhadap operasinya terutamanya dalam pelaksanaan inisiatif Program Sinergi Sosial.
"Dengan memanfaatkan limpahan maklumat pada PADU, Program Sinergi Sosial dapat memadankan individu dan isi rumah dengan perkhidmatan sosial, sumber, dan intervensi yang sesuai secara berkesan, menggunakan aliran proses dan kerangka operasi sedia ada.
"Integrasi PADU dan Program Sinergi Sosial berupaya menjadi contoh pelaksanaan yang berpotensi menyelaras dan mengoptimumkan perlindungan sosial, tanpa meminggirkan sesiapa," ujar kenyataan itu.
Mengambil inspirasi daripada pelbagai model di negara maju seperti Australia, Kanada, dan Estonia, Program Sinergi Sosial merupakan sebuah platform dibangunkan PERKESO bagi menggabungkan pelbagai tahap perlindungan sosial yang wujud di dalam negara.
Ia meliputi bantuan sosial, insurans sosial, dan intervensi pasaran buruh untuk menjadi sebuah pusat sehenti serba lengkap.
"Platform ini menghubungkan pelbagai pengamal keselamatan sosial dalam satu aplikasi dan menyalurkan kes keselamatan sosial dari satu agensi ke agensi lain, demi memastikan orang rentan dibantu dan dilindungi," ujar Mohammed Azman.
Program Sinergi Sosial yang dilaksanakan PERKESO menyasarkan untuk memastikan agar tiada golongan pekerja tercicir daripada mendapat manfaat perlindungan sosial yang disediakan di dalam negara. — Gambar hiasan
Dengan berpegang kepada ‘Dasar Pintu Terbuka’, Mohammed Azman berkata, rangkaian program itu semakin berkembang dengan 1,100 penyelaras dari 395 institusi seperti agensi persekutuan, pemimpin komuniti dan institusi swasta.
Menurut beliau, penglibatan pelbagai pihak itu berjaya memastikan setiap individu yang layak menerima bantuan tidak pulang dengan tangan kosong.
"Melalui Sistem Sinergi Sosial, lebih 10,500 prospek berjaya menerima bantuan berdasarkan keperluan dan membantu meningkatkan taraf hidup mereka," kata Mohammed Azman .
Sementara itu, sedar dengan kepentingan mengharmonikan aspek kemanusiaan dalam sokongan sosial, strategi dilaksanakan PERKESO dalam mencari potensi kes dan penyaluran bantuan melangkaui usaha pendigitalan perkhidmatannya.
"Skuad PERKESO Prihatin merupakan pasukan berdedikasi untuk memantau pelbagai saluran maklumat di media cetak, elektronik dan media sosial serta menghubungkan individu rentan dengan bantuan yang ada di PERKESO.
"Strategi ini mengubah corak pemikiran tradisional PERKESO untuk melangkaui khidmat tuntutan kaunter dan meneroka pendekatan turun ke lapangan untuk menyampaikan bantuan secara langsung.
"Hari ini, kami menguar-menguarkan kejayaan siri kes diterajui Skuad Prihatin dan Sinergi Sosial di media sosial untuk memacu kesedaran perlindungan sosial di Malaysia," katanya.
Di sebalik situasi mencabar dalam sistem perlindungan sosial, Mohammed Azman berkata, PERKESO turut menyedari mengenai wujudnya keperluan bagi meneroka potensi pembaharuan untuk tujuan pengukuhan perkhidmatannya.
Baru-baru ini, Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MYSPC) mengulangi tekadnya untuk memperkukuh Program Sinergi Sosial PERKESO dengan memasukkan program berkenaan ke dalam kumpulan fokus kerajaan daerah dan tempatan untuk menyelaraskan perkhidmatan perlindungan sosial di peringkat akar umbi.
BACA LAGI: Perkeso turun padang, bela nasib pengarah filem terlantar akibat kemalangan
PERKESO menegaskan mengenai kepentingan untuk melaksana usaha mengharmonikan aspek kemanusiaan dalam sokongan sosial. — Gambar hiasan
Pada masa sama, PERKESO turut meningkatkan lagi tahap perkhidmatan digitalnya bagi memudahkan capaian perkhidmatannya kepada masyarakat.
"Aplikasi PERKESO Prihatin adalah lembaran terakhir transformasi operasi kami yang berfungsi sebagai pejabat PERKESO ke-55, membolehkan perkhidmatan PERKESO disediakan melalui aplikasi dalam talian.
"Pada masa kini, Aplikasi Prihatin berfungsi sebagai pusat maklumat PERKESO, memberikan akses kepada penyata sumbangan dan hak perlindungan untuk pekerja formal dan mereka yang berdaftar sebagai bekerja sendiri.
"Dengan pertimbangan keselamatan dan tadbir urus data, PERKESO mempunyai rancangan akan datang untuk menyatukan perkhidmatan kewangan dan pelbagai kebajikan sosial ke dalam Aplikasi Prihatin, yang akan mengubahkannya menjadi aplikasi utama untuk perlindungan sosial," ujar Mohammed Azman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram