Raih RM4.2 juta sebulan, Jabatan Imigresen gempur pusat urut warga asing di JB


  • 112
  • Selasa, 09 Jan 2024

Pusat urut warga asing antara premis yang terlibat dalam Ops Gegar dan Ops Dandan dilaksanakan oleh JIM pada Ahad lalu. — JIM

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan aktiviti perniagaan warga asing dalam satu operasi Ops Gegar dan Ops Dandan pada Ahad lepas di tujuh lokasi sekitar Johor Bahru, Johor.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Rusli Jusoh berkata, operasi bermula sekitar pukul 3.20 petang melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor.

Rusli berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi telah diarahkan ke beberapa premis termasuk pusat urut dan dandan.

msg1050426791-21995

Warga asing yang menjadi pekerja di premis urut berkenaan. — JIM

Dalam operasi itu, pihaknya menahan 14 orang warganegara Indonesia terdiri daripada 13 orang perempuan dan seorang lelaki, 16 orang perempuan warganegara Vietnam, seorang lelaki warganegara Filipina, 34 orang warganegara Myanmar terdiri daripada 24 orang lelaki dan 10 orang perempuan serta seorang lelaki warganegara Pakistan.

BACA LAGI : Hantar pulang warga asing untuk atasi isu lambakan — Anwar

Katanya, jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 68 orang termasuk seorang warganegara Malaysia.

"Hasil semakan awal mendapati warga asing ini menggunakan kemudahan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dimiliki untuk bekerja dengan majikan atau syarikat yang lain di negara ini.

"Manakala, terdapat warga asing lain yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

"Pasukan operasi telah merampas satu gugus kunci premis, enam naskhah pasport Vietnam, 19 helai tuala, tujuh set peralatan mengurut, dua set peralatan perawatan kuku, sebuah telefon pintar jenama Samsung, beberapa buku rekod pelanggan dan wang tunai berjumlah RM844.00," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bukan itu sahaja, Rusli berkata, premis-premis itu dipercayai telah beroperasi lebih setahun dan mampu menjana pendapatan sebanyak sekitar RM140,000 sehari malah, boleh mencecah sehingga RM4.2 juta sebulan.

Tambahnya, warga asing yang bekerja di premis-premis itu telah dibayar gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan oleh majikan.

msg1050426791-21996

Premis itu dilaporkan dapat meraih keuntungan mencecah RM4.2 juta sebulan. — JIM

"Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Setia Tropika, Johor.

"Manakala seorang lelaki warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63," katanya lagi.

Rusli berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.

BACA LAGI : Imigresen tahan 238 warga asing di Kota Bharu, rakyat dakwa ramai PATI bersembunyi di Tanah Merah

Tindakan pendakwaan akan dikenakan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.

Sementara itu, pihaknya juga menasihatkan kepada para majikan supaya mengambil warga asing untuk bekerja di negara Malaysia dengan mengikut saluran berlandaskan undang-undang.

"Pihak kami akan sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan dari masa ke masa dalam membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram