SEORANG wanita bertindak mengabaikan seorang lelaki yang dipercayai menjaga satu lot parkir kereta di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada petang Ahad.
Kejadian tersebut dirakam menerusi kamera paparan pemuka (dashcam) memaparkan seorang lelaki berada dalam petak parkir tersebut untuk menjaga lot tersebut.
Menerusi video tersebut, lelaki berkenaan memintanya mencari lot parkir lain , namun wanita tersebut berkeras untuk meletakkan kenderaan di lokasi berkenaan.
Situasi terbabit mencetuskan pergaduhan mulut antara dua individu tersebut kerana lelaki berkenaan mendakwa wanita tersebut akan turut melakukan perkara sama jika dia tidak menjumpai tempat untuk meletakkan kenderaannya.
"Saya tak cop langsung, saya dah cari dari tadi. Saya tak (kira)," kata wanita tersebut sambil terus memasuki petak parkir kereta dan mengabaikan lelaki tersebut.
Sementara itu, video berdurasi seminit 22 saat itu tular dan mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya berpuas hati dengan tindakan wanita tersebut.
"Puasnya hati aku, selalunya orang cop parking mereka menang. Tapi sis ini terbaik! Salute," kata W.
"Kau memang win dik syabas. mesti terkulat-kulat muka lelaki itu," kata ckinsabri18.
Majoriti sebelum ini melaporkan kes sama melibatkan seorang wanita menjaga satu ruang parkir kereta di tempat awam dipercayai di Pulau Pinang yang tular di media sosial.
Video berdurasi satu minit 45 saat itu dirakam oleh individu yang berada di dalam kereta diletakkan di sebelah tempat meletak kenderaan yang dijaga wanita tersebut.
Menerusi klip tular itu, wanita berkenaan dilihat tidak membenarkan beberapa kenderaan yang cuba meletakkan kenderaan mereka di tempat terbabit.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram