[VIDEO] Konon 2 jam tunggu 'cop' parking di Brinchang, wanita kena bantai pemandu berang akhirnya mengalah


  • Tular
  • Ahad, 27 Nov 2022

Tangkap layar seorang wanita menghalang laluan kenderaan dengan cara berdiri dalam petak pakir kereta.

BUDAYA 'cop' tempat parkir pada hari ini bukanlah sesuatu yang baru, malah insiden seperti ini boleh dilihat di mana sahaja tanpa mengira tempat dan waktu.

Walaupun sememangnya telah dikuatkuasa undang-undang berkaitan kesalahan tersebut, namun masih ramai yang berdegil dan melakukan kesalahan sama.

Terbaharu, satu insiden 'cop' parkir dilaporkan berlaku di sebuah premis kedai makan yang mana kejadian itu dapat dirakam dashcam dan dikongsikan di halaman Twitter nan manjoi8715.

Melalui rakaman itu, seorang wanita memakai 'sweater' hitam kelihatan berdiri di petak parkir kosong di depan sebuah restoran kerana dipercayai mahu mendapatkan tempat letak kenderaan itu.

Difahamkan dalam kejadian pada pukul 7.21 malam, Sabtu itu berlaku di Brinchang, Cameron Highland, Pahang berdasarkan papan tanda kedai berkenaan.

Walaupun ia kelihatan seperti video 'cop' parkir biasa namun apa yang menarik perhatian ialah wanita yang berdiri di petak parkir itu mengaku sudah menunggu selama dua jam di tempat tersebut.

"Saya sudah tunggu dua jam sini," katanya.

Tindakannya yang enggan berganjak itu dirakam dashcam pemilik kenderaan berkenaan yang turut bengang dengan kerenah wanita berkenaan.

Turut kedengaran seorang lelaki (pemandu) memarahi wanita terbabit yang enggan berganjak dari tempatnya.

"Apa main cop parking?

"Kau tunggu dua jam ke, tunggu dari pagi ke, bukan masalah aku," katanya.

Wanita itu kemudiannya dilihat terus beredar daripada kawasan berkenaan selepas pemandu itu berkeras untuk memarkir keretanya di tempat tersebut.

Untuk makluman, perbuatan cop parkir dengan meletakkan kerusi, motor, kon, pasu bunga, ampaian baju, berdiri atas petak parking dan sebagainya merupakan kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Undang-undang itu juga boleh diguna pakai di semua kawasan sama ada di tempat awam mahupun di premis swasta termasuk pusat beli-belah.

Hukuman bagi pesalah cop parking ditetapkan di bawah Seksyen 119 yang membawa penalti tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan bagi kesalahan seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram