[VIDEO] Diskaun saman RM100 couple UK di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, 3 polis trafik ditahan


  • 112
  • Selasa, 30 Jan 2024

Tangkap layar video memaparkan kejadian ketika pasangan UK tersebut disaman oleh anggota terbabit di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands baru-baru ini.

TIGA anggota polis trafik yang tular susulan dakwaan menerima wang RM100 daripada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK) bagi menyelesaikan saman baru-baru ini ditahan reman tiga hari bermula Selasa bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang ditahan adalah berusia 37 hingga 42 tahun.

Beliau berkata, ketiga-tiganya ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan; Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

"Siasatan kes tersebut diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah siasatan dilengkapkan.

"Dalam pada itu siasatan dalaman juga dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI: [VIDEO] Tular lagi kes pelancong asing dapat saman 'diskaun' RM100, kali ini di Langkawi

BACA LAGI: [VIDEO] 'Pergi balai RM300, bayar sini RM100', PDRM siasat anggota trafik bagi pasangan UK pilih bayar saman

Mohd Yusri turut menegaskan bahawa pihak polis menggesa pelancong berkenaan segera tampil memberi kerjasama untuk melengkapkan siasatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes itu sehingga boleh menjejaskan siasatan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius terhadap integriti dan tingkah laku warga PDRM serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang dilakukan oleh mana-mana warganya.

"Polis turut mengalukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-2542222," katanya.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan video memaparkan pasangan suami isteri berasal dari UK disaman oleh anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju.

Menerusi video tersebut, seorang lelaki dipercayai anggota polis trafik memberitahu pasangan terbabit bahawa terdapat dua pilihan untuk membayar saman yang dikenakan.

"Bayar di balai polis atau bayar di sini? Jika bayar di balai, RM300. Bayar sekarang, RM100," kata polis berkenaan.

Disebabkan perbezaan jumlah bayaran yang besar itu, pasangan berkenaan membuat keputusan membayar sebanyak RM100 kepada anggota tersebut pada waktu sama di lokasinya ditahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram