Modal melancong murah, makanan sedap kena tekak jadi sebab rakyat Malaysia lebih suka ke Thailand


  • Massa
  • Rabu, 03 Jan 2024

Thailand menjadi antara destinasi pelancongan kegemaran rakyat Malaysia. — Gambar hiasan/Bernama

TAHUN 2023 menyaksikan seramai 4.56 juta rakyat Malaysia mendahului carta senarai pelawat antarabangsa yang berkunjung ke Thailand.

Pada masa sama, jumlah pelawat Malaysia yang melawat ke Selatan Thailand dilaporkan melonjak dua kali ganda kepada kira-kira 20,000 orang sehari terutamanya pada perayaan Krismas dan cuti hujung 2023.

Ia sekali gus dianggarkan telah menyumbang lebih 2 bilion Baht (RM268 juta) kepada ekonomi tempatan Thailand dalam tempoh dua minggu sebelum memasuki tahun baharu, 2024.

97e5c24b-988c-445e-9b7f-b91f6f1906fb_05e46f2a-700x467

Destinasi percutian menjadi tarikan rakyat Malaysia ketika musim cuti.

Terdahulu, Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Sudawan Wangsuphakijkosol dilaporkan berkata, 4.56 juta rakyat Malaysia antara pelancong yang membelanjakan sebanyak 1.2 trilion Baht (kira-kira RM161.52 bilion) pada tahun sama.

"Purata 112,807 pelancong memasuki Thailand setiap hari, dengan lima pelancong asing teratas terdiri daripada warga Malaysia (123,540), diikuti China (101,003), Rusia (52,893), Korea Selatan (41,830), dan India (39,630),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, perkara tersebut juga didorong oleh beberapa faktor yang menyebabkan Thailand menjadi lokasi tumpuan menarik majoriti rakyat Malaysia.

Menurut salah seorang pengguna media sosial yang pernah merasai pengalaman melancong ke Thailand berkongsi pendapat tentang mengapa negara itu menjadi tarikan pelancong.

Pengguna dengan menggunakan akaun Facebook, Farah Masda Salleh juga sempat menyenaraikan beberapa sebab untuk membuktikan perkara tersebut.

415253618_10219188984515572_7344202662193512540_n

Harga makanan yang murah berbanding di Malaysia antara punca Thailand diserbu pelancong serata dunia.

Menurutnya, Thailand antara negara yang sememangnya mesra pelancong sejak dahulu kala lagi serta pelbagai kemudahan dikatakan serba-serbi lengkap disediakan kepada pelawat.

"Sebagai contoh, kad sim tanpa had yang senang dicari, sewa motor pun ada di mana-mana sahaja.

"Agensi pelancongan pun senang cari malah aktiviti pelancongan sangat banyak," tulisnya.

Bukan sekadar itu, kepelbagaian makanan serta harga yang ditawarkan juga dikatakan sangat murah dan berbaloi jika mahu dibandingkan dengan destinasi percutian di Malaysia.

"Pelbagai makanan halal boleh didapatkan, sedap pula tu. Contohnya, air kelapa dalam buluh hanya 30 baht (RM4) buluh dan bunga boleh ambil terus," tulisnya.

105732

Pelbagai lokasi menarik di Thailand yang menjadi perhatian rakyat Malaysia.

Ia turut disokong oleh salah seorang lagi warga maya yang pernah melancong ke negara itu dengan menyatakan, hanya berbekalkan modal sebanyak RM500 boleh dapatkan pakej percutian lengkap dan selesa.

"Modal RM500 siap tiket bas pergi dan balik, hotel, makan dan memang cukup puas," komen Zach Rahman.

Dalam pada itu, ada juga yang menyatakan bahawa ia merupakan strategi pelancongan yang lebih bagus berbanding di Malaysia.

Pengguna akaun Izwan Auzai sempat mengutarakan pendapatnya terutama terhadap sikap peniaga yang dikatakan tidak tamak dalam mengaut keuntungan.

Menurutnya, Thailand bijak dalam mengatur industri pelancongan mereka sehingga menjadi tumpuan ramai pelancong dari pelbagai negara.

Dia juga memberi cadangan bahawa peniaga di Malaysia perlu mengikut contoh yang dilakukan dalam industri perniagaan di Thailand.

"Kena belajar dari Thailand, termasuk industri perniagaan mereka. Mereka tidak tamak dalam mengaut keuntungan melampau-lampau ke atas pelancong.

"Mereka hanya pentingkan kedatangan ribuan pelancong yang boleh menghidupkan ekonomi rakyat setempat," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram