STADIUM yang penuh dengan sejarah, Stadium Merdeka akan kembali dibuka semula pada suku kedua tahun 2024.
Perkhabaran tersebut disambut baik oleh ramai pihak terutamanya penyokong bola sepak kerana mereka dijangka dapat menyaksikan sekali lagi perlawanan diadakan di stadium ikonik tersebut.
Dengan Stadium Merdeka dibuka semula, ia memberi satu peluang bagaimana gelanggang tersebut boleh terus 'hidup' selari dengan statusnya sebagai bangunan bersejarah negara.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan meneroka tiga potensi yang boleh dituju bagi memastikan Stadium Merdeka terus 'bernyawa':
1. Gelanggang alternatif Harimau Malaya
Sejak Stadium Shah Alam tidak lagi digunakan, Harimau Malaya telah kehilangan gelanggang alternatifnya apabila Stadium Nasional Bukit Jalil tidak boleh dipakai.
Disebabkan itu, Harimau Malaya perlu keluar dari Lembah Klang dengan beraksi di stadium seperti Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Dengan kembalinya Stadium Merdeka, pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh melakukan perancangan untuk menjadikan ia sebagai gelanggang alternatif Harimau Malaya di masa akan datang.
Tetapi, mungkin prosesnya akan mengambil sedikit masa kerana jika mahu berbuat demikian, mereka perlu pastikan segala piawaian FIFA dipatuhi terutamanya berkaitan padang serta fasiliti stadium terlebih dahulu.
BACA LAGI: Stadium Merdeka kembali 'bernyawa', Harimau Muda boleh jadi pasukan pertama rasmi padang bersejarah
2. Gelanggang rasmi Harimau Muda dan skuad wanita
Selain itu, Stadium Merdeka juga boleh diangkat sebagai gelanggang rasmi buat skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia tatkala pasukan senior bermain di Bukit Jalil.
Pendekatan ini adalah serupa dengan apa yang dilakukan oleh majoriti negara Eropah. Lazimnya di sana, pasukan bawah umur akan beraksi di stadium lebih kecil kapasitinya manakala pasukan senior bertarung dekat gelanggang utama.
Harimau Muda kini dilatih oleh Juan Torres Garrido. — Facebook/FAM
Selain itu, ia turut boleh diangkat gelanggang rasmi buat skuad wanita Malaysia yang sedang dalam proses pembangunan untuk menjadi pasukan kompetitif.
Dengan memberikan mandat itu kepada mereka, FAM akan dilihat serius dalam usaha membangunkan bola sepak wanita di negara ini.
3. Dewan Kemasyhuran Harimau Malaya
Salah satu sesebuah stadium menjana keuntungan selain menganjurkan perlawanan adalah mereka mengadakan jelajah stadium atau stadium tour.
Jelajah stadium merupakan amalan biasa dilakukan oleh kelab bola sepak seluruh dunia. Jika terdapat jelajah stadium bagi Stadium Merdeka, pengunjung dapat belajar dengan lebih mendalam mengenai sejarah stadium tersebut dan signifikannya terhadap Malaysia.
Santokh Singh (kiri) dan Soh Chin Ann (kanan) merupakan legenda bola sepak Malaysia. — Agensi
Sebagai nilai tambah kepada jelajah stadium itu, Stadium Merdeka boleh mewujudkan Dewan Kemasyhuran Harimau Malaya di satu sudut. Di situ, pengunjung dapat mengenali dengan sejarah pasukan kebangsaan termasuklah mengenai bintang bola sepak Malaysia serta jurulatih yang membawa kejayaan kepada kita.
Jika ia dilakukan, ia sedikit sebanyak boleh menjana pendapatan tambahan dan ia akan menarik minat pelbagai pihak seperti generasi muda, pelancong asing serta rombongan sekolah untuk melawat stadium warisan negara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram