[VIDEO] Ajal ‘12th hole’, pemain golf 69 tahun maut di Bukit Beruntung


  • 112
  • Selasa, 30 Jan 2024

Tangkap layar kejadian ahli perniagaan maut ketika bermain golf dalam kejadian di sebuah kelab golf dekat Bukit Beruntung, Rawang, Selangor pada pagi Selasa.

SEORANG lelaki warga emas dilaporkan maut ketika bermain golf dipercayai akibat mengalami serangan jantung dalam kejadian di sebuah kelab golf dekat Bukit Beruntung, Rawang, Selangor kira-kira pukul 10.30 pagi Selasa.

Video mengenai kejadian tersebut ditularkan menerusi perkongsian yang dibuat di aplikasi WhatsApp pada hari sama.

Ahli perniagaan berusia 69 tahun itu difahamkan meninggal dunia ketika sedang beraksi di lubang ke 12 kelab golf tersebut.

BACA LAGI : Lelaki warga emas maut ditikam 27 kali di George Town

BACA LAGI : Golf Terbuka Malaysia 2024 'berwajah' baharu, tawar hadiah AS$1 juta

Dalam video berasingan, sebuah ambulans juga dilihat telah tiba di kawasan kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim dilaporkan berkata, kejadian pukul 10.30 pagi itu berlaku ketika lelaki warga emas berusia 69 tahun itu bermain golf bersama tiga rakan.

"Bagaimanapun, mangsa kemudian terjatuh dan tidak sedarkan diri.

"Hasil semakan mendapati mangsa mempunyai sejarah masalah jantung sejak 2018," katanya.

Tambahnya lagi, polis menerima maklumat berhubung kejadian menimpa mangsa pukul 12.25 tengah hari.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram