[VIDEO] Budak 5 tahun maut direndam keluarga dekat sungai demi 'berubat' kanser


  • Benua
  • Jumaat, 26 Jan 2024

Tangkap layar memaparkan wanita dipercayai ibu saudara kanak-kanak itu sedang duduk di sebelah mayat mangsa selepas di bawa keluar dari sungai terbabit. — Agensi

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut apabila lemas direndam oleh keluarganya di dalam sungai Gangga dekat Haridwar, India, kerana percaya perbuatan tersebut mampu menyembuhkan mangsa yang menghidap kanser.

Video mengenai kejadian yang berlaku pada Rabu lalu itu turut tular di media sosial.

Klip terbabit memaparkan kedua ibu bapa kanak-kanak malang itu sedang berdoa di tepi sungai sementara seorang perempuan dipercayai ibu saudaranya sedang menenggelamkan mangsa di dalam air.

Ketika kejadian, orang awam yang berada di lokasi dilaporkan meminta keluarga terbabit untuk mengeluarkan budak tersebut selepas menyedari mangsa dibiarkan berada terlalu lama di dalam air.

Difahamkan, kanak-kanak itu hanya dibawa keluar selepas ditarik paksa oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

Menerusi satu video berasingan, seorang wanita dipercayai mak cik kepada mangsa dilihat bertindak agresif dengan cuba menghalau orang ramai yang cuba menarik keluar budak tersebut.

Mangsa dikejarkan ke untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

Menurut satu laporan, dalam insiden tersebut, kanak-kanak itu dibiarkan direndam di dalam air selama kira-kira lima minit.

BACA LAGI: Warga emas ditemukan lemas lepas redah banjir di Kuantan

BACA LAGI: Terjatuh ketika tangkap ikan, 2 remaja ditemukan lemas dalam parit di Kota Tinggi

Sementara itu, satu lagi klip tular di lokasi kejadian memaparkan ibu saudara budak itu sedang duduk di sebelah mayat sambil mengatakan bahawa dia pasti kanak-kanak itu akan hidup semula.

Ketua Polis Haridwar, Swantantra Kumar berkata, keluarga itu memaklumkan bahawa budak lelaki sebelum itu sedang menjalani rawatan kanser di sebuah hospital terkemuka di Delhi, India.

Bagaimanapun, pihak doktor kemudiannya memaklumkan penyakit dihidapi kanak-kanak itu tidak dapat disembuhkan.

Ekoran itu, pihak keluarga percaya sungai Gangga tersebut boleh menyembuhkan budak lelaki berkenaan.

"Kami sudah mendapat laporan daripada hospital Delhi. Tetapi pada ketika ini, nampaknya mereka membawa budak itu ke sini kerana percaya perbuatan itu akan menyembuhkannya," katanya.

Ibu bapa dan ibu saudara mangsa sudah ditahan untuk disoal siasat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram