Lelaki warga emas maut ditikam 27 kali di George Town


  • 112
  • Rabu, 06 Dis 2023

Seorang lelaki warga emas maut ditikam sebanyak 27 kali dengan menggunakan senjata pisau dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah apartment di Jalan Perak, George Town pada Selasa. — Facebook/Orang Awam

SEORANG lelaki warga emas maut ditikam sebanyak 27 kali dengan menggunakan senjata pisau dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah apartment di Jalan Perak dekat George Town, Pulau Pinang pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritendan V.Saravanan berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 6.18 petang Selasa daripada penduduk di apartment itu yang memaklumkan seorang lelaki cedera parah ditikam.

"Polis terus ke lokasi kejadian sebelum mangsa yang berusia 60-an itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan ambulans namun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

"Hasil pemeriksaan terdapat 27 kesan tikaman pada seluruh badan dan dipercayai ditikam dengan menggunakan pisau,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian itu dipercayai melibatkan dua lelaki bermotosikal yang memasuki kawasan parkir apartment tersebut sebelum seorang daripada suspek itu bertindak menyerang mangsa dengan menikamnya bertubi-tubi

Menurutnya, semasa kejadian rakan suspek yang menunggang motosikal hanya berada di motosikalnya, dipercayai bersiap sedia untuk melarikan diri jika terdapat polis datang ketika rakannya menyerang mangsa.

Saravanan berkata, polis mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi kejadian dan pondok pengawal, dan usaha mengesan dua suspek tersebut giat dijalankan.

"Punca kejadian masih dalam siasatan namun kita percaya ia bukan samun kerana barangan berharga termasuk duit milik mangsa yang merupakan peniaga kedai nasi ekonomi di pasar Jalan Perak, masih berada bersamanya," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram