Negara berdepan cuaca lebih panas, kering — MetMalaysia


  • Massa
  • Ahad, 28 Jan 2024

Helmi berkata, fenomena El Nino yang membawa keadaan lebih kering juga wujud sejak pertengahan tahun lalu.

MALAYSIA dijangka mengalami cuaca lebih kering pada Februari ini meskipun beberapa bahagian di dalam negara akan berhadapan dengan hujan dan risiko banjir.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, perkembangan itu diramal berlaku berikutan fenomena Monsun Timur Laut yang akan berakhir pada Mac dan keadaan El Nino.

Ketua pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, kebiasaannya ribut petir dan hujan akan berkurangan pada awal Februari, sehingga Monsun Timur Laut berakhir pada Mac.

Tambahnya, fenomena El Nino yang membawa keadaan lebih kering juga wujud sejak pertengahan tahun lalu.

Muhammad Helmi berkata, El Nino yang kuat boleh mengurangkan hujan dan meningkatkan suhu di seluruh negara sebaik sahaja Monsun Timur Laut berakhir pada Mac.

“Ia khususnya untuk negeri-negeri di utara semenanjung, dan pedalaman Perak, Kelantan, Pahang, dan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Star.

Fenomena El Nino bermula pada pertengahan tahun lalu dan boleh berterusan sehingga 18 bulan.

BACA LAGI: Senaman luar ketika cuaca panas memudaratkan, tetapi ada cara yang boleh diikuti

1241900

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah.

BACA LAGI: Murid, guru dibenar pakai baju sukan ketika cuaca panas

Muhammad Helmi berkata, kesan puncak El Nino biasanya akan dirasai pada penghujung Monsun Timur Laut, dengan keadaan berkemungkinan berlarutan sehingga pertengahan tahun.

“Berdasarkan ramalan terkini, El Nino semasa dijangka lemah dan kembali kepada neutral secara berfasa menjelang pertengahan 2024,” tambahnya.

Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Dr Fredolin Tangang berkata, Pusat Iklim Apec (APCC) di Busan, Korea Selatan pada masa ini meramalkan hujan melebihi paras normal di selatan Semenanjung Malaysia dan Sarawak sepanjang baki tempoh Monsun Timur Laut.

Monsun Timur Laut bermula pada 11 November tahun lepas, membawa banjir ke pelbagai negeri di Malaysia.

Beberapa negeri lain termasuk Sabah dijangka mengalami hujan normal sepanjang tempoh Monsun Timur Laut.

“Tambahan hujan yang lebih tinggi daripada biasa di selatan Semenanjung Malaysia dan Sarawak juga konsisten dengan kesan biasa El Nino, yang sedang dalam proses penamatan secara berperingkat dan dijangka berakhir pada April atau Mei,” katanya ketika dihubungi.

Fredolin berkata, seluruh rantau ini dijangka mengalami suhu yang lebih panas sekurang-kurangnya satu darjah Celsius akibat El Nino.

"Walaupun ramalan itu tidak benar-benar menunjukkan perubahan besar dalam corak cuaca, masih terdapat kemungkinan keadaan cuaca ekstrem seperti kemarau dan gelombang panas," katanya sambil menambah bahawa keadaan itu terjadi ketika kali terakhir fenomena El Nino berlaku.

Fredolin berkata, El Nino semasa telah mencapai kemuncaknya pada penghujung tahun lepas, dengan keadaan dijangka kembali normal menjelang April atau Mei.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan peka terhadap ramalan cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia,” katanya. — The Star/GERARD GIMINO

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram