CUACA panas dan kering dialami negara sejak April yang dijangka berterusan hingga Ogos ini, selain tempoh penggunaan sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, menjadi antara punca peningkatan penggunaan bil elektrik dalam kalangan pengguna, demikian kata Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Syarikat tunggal pembekal elektrik negara itu berkata, trend peningkatan tersebut berterusan apabila rekod tertinggi permintaan maksimum bekalan tenaga sebanyak 19,716 Megawatt (MW) dicatatkan pada 11 Mei 2023.
"Penggunaan tenaga ini dikesan meningkat bagi peralatan seperti penyaman udara dan kipas. Sekalipun cara penggunaannya sama termasuk dari segi tempoh masa dan suhu dilaraskan pada 24 darjah celcius, tenaga digunakan adalah lebih banyak berbanding bulan sebelumnya kerana sistem penyejuk bekerja lebih kuat dalam cuaca lebih panas.
"Apabila jumlah kilowatt-jam (kWh) tenaga digunakan semakin meningkat, pengiraan bil akan melibatkan blok tarif lebih tinggi kadarnya, lantas pengguna akan menerima bil lebih tinggi.
"Blok tarif ini tidak berubah sejak kadar sedia ada ditetapkan pada 2014," katanya dalam satu kenyataan.
TNB berkata, blok tarif perkhidmatan bekalan elektrik tidak berubah sejak kadar sedia ada ditetapkan pada 2014. — Gambar hiasan
Sehubungan itu, TNB mengingatkan pengguna berkenaan kepentingan amalan penggunaan elektrik berhemah bagi pelbagai peralatan termasuk di ruang tamu, di dapur, di bilik tidur dan bilik mandi dapat membantu menjimatkan penggunaan dan mengelak pembaziran tenaga.
Jelasnya, budaya penggunaan tenaga elektrik betul dan berhemah bukan sahaja perlu diamalkan dalam keadaan cuaca panas tetapi wajar menjadi amalan lazim untuk mengelak daripada penggunaan tenaga berlebihan.
"Pengguna boleh melayari www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energysavingstips/tips-tricks untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak termasuk perkakasan seperti penyaman udara, kipas, lampu, mesin basuh, peti sejuk dan ketuhar gelombang serta bagaimana membuat pemilihan barangan elektrik yang cekap tenaga," ujarnya.
Menurut TNB, mereka kediamannya dipasang dengan meter pintar turut mempunyai kelebihan tambahan bagi memantau penggunaan elektrik harian dalam unit Ringgit ataupun kWh melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) ataupun aplikasi myTNB.
Tambahnya, kelebihan utama meter pintar adalah dari segi ketepatan maklumat pengebilan serta membolehkan pengguna mendapat maklumat bagi tujuan pengurusan perbelanjaan tenaga isi rumah.
"Dengan informasi penggunaan elektrik secara harian, pengguna yang mempunyai meter pintar diberi pemerkasaan diri untuk merancang dan mengawal penggunaan tenaga elektrik dengan lebih efisyen," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram