Isu padi berkurang, mungkin terpaksa bergantung kepada beras import


  • Massa
  • Isnin, 05 Jun 2023

Petani patut diberi kebebasan untuk memilih benih padi berkualiti yang tahan cuaca. — Bernama

PENGHASILAN padi yang semkain berkurang dalam negara ketika ini akan meningkatkan kebergantungan terhadap beras import.

Setiausaha Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Nurfitri Amir Muhammad berkata, tahap kecukupan beras negara pada 2021 adalah sebanyak 65 peratus.

Malah setakat ini katanya, beras tempatan dijual pada harga kawalan iaitu RM2.60 sekilogram (kg) atau RM26 untuk 10 kg.

"Jika penghasilan beras tempatan menurun, biasanya ia dibantu oleh kemasukan beras putih import dari Vietnam atau Thailand yang tidak mempunyai harga siling.

"Jika harga beras dunia meningkat, ada kemuningkinan harga beras import berkenaan turut meningkat dan ia akan memberi kesan kepada golongan kurang berkemampuan," katanya.

Dalam pada itu, Nurfitri yang juga Penyelidik merangkap Penyelaras Forum Kedaulatan Makanan Malaysia berkata, infrastruktur berkaitan industri tersebut perlu dinaik taraf segara bagi menangani kekurangan hasil padi.

Katanya, ia melibatkan sistem pengairan bagi mengurangkan pembaziran air yang dikeluarkan dari empangan kerana tidak digunakan dengan baik berikutan keadaan infrastruktur pengairan kurang baik.

Ia juga disebabkan oleh kekurangan kemudahan untuk menyimpan air dari sungai sebelum dilepaskan ke laut.

Tambahnya, petani juga patut diberikan kebebasan untuk memilih benih berkualiti yang boleh bertahan dalam cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

"Bekalan industri benih padi dan subsidi benih padi boleh diberikan terus kepada petani, bukan kepada syarikat terpilih," katanya.

1604313

Sabah dan Sarawak mempunyai potensi untuk dijadikan lokasi penanaman padi yang boleh menghasilkan beras istimewa. — Gambar hiasan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Sarena Che Omar berkata, negara terpaksa bergantung kepada simpanan berasnya untuk kes kecemasan jangka pendek apabila pengeluaran padi tempatan terjejas.

Oleh itu katanya, pihak-pihak berwajib perlu meneroka tempat penanaman padi di lokasi-lokasi lain di Malaysia dengan jenis benih yang sesuai mengikut keadaan tempatan.

"Kita juga perlu menghasilkan benih padi yang kalis cuaca seperti banjir dan kemarau," katanya.

Mengulas lanjut tentang lokasi baharu berpotensi untuk tanaman padi, Sarena berkata, terdapat kawasan di Sabah dan Sarawak yang sesuai untuk penamanan padi dengan lebih 500 padi unik.

"Dengan pelbagai ciri seperti rasa, warna dan tekstur, jenis-jenis beras unik ini boleh merangsang daya saing industri padi dan beras Malaysia," katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Azman Mahmood berkata, negara perlu meneroka cara untuk menyimpan air di bawah tanah bagi mengatasi masalah kekurangan air yang memberi kesan kepada hasil pagi.

Katanya, air daripada banjir dan lebihan boleh disimpan dalam simpanan bawah tanah seperti yang dilakukan di Jepun. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram