Murid, guru dibenar pakai baju sukan ketika cuaca panas


  • Primer
  • Selasa, 02 Mei 2023

Menurut KPM, kebenaran itu tidak akan membebankan murid dan ibu bapa kerana murid mempunyai pakaian dan baju sukan masing-masing.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) bersetuju memberikan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian baju sukan semasa cuaca panas.

Keputusan itu dimaklumkan menerusi surat pekeliling bertarikh 2 Mei 2023 yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi sekolah), Dr Norisah Suhaili.

Jelas surat tersebut, langkah berkenaan dibuat dengan mengambil kira keadan semasa cuaca panas dan seterusnya bagi mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan.

"Kebenaran khas ini tidak membebankan murid dan ibu bapa kerana murid mempunyai pakaian dan baju sukan masing-masing," menurut surat berkenaan.

Dalam pada itu, ia turut mengingatkan pengetua dan guru besar supaya sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa supaya tindakan dapat diambil dengan kadar segera bagi menjamin kesihatan murid, guru dan anggota pelaksana.

Pada masa sama, surat berkenaan turut menyatakan bahawa KPM sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru serta anggota pelaksana semasa menghadapi cuaca panas.

"Keadaan cuaca panas yang berlaku boleh mencetuskan gelombang haba yang memudarakan kesihatan seperti hipertemia atau strok haba dan hidrasi," ujarnya.

Pada Ahad, KPM menerusi satu surat pekeliling mengeluarkan arahan membenarkan penutupan sekolah sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran dua dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram