Jerebu semakin teruk, 4 perkara ibu bapa dan guru perlu buat demi kesihatan anak kecil


  • Sihat
  • Rabu, 04 Okt 2023

Keadaan jerebu yang semakin membimbangkan di ibu negara pada Selasa. — Bernama

BUKAN perkara baharu, masalah jerebu bagaikan suatu fenomena yang tiada penghujung kerana sering melanda Malaysia sejak saban tahun dan kini kembali menyerang lagi.

Jerebu adalah satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara.

Media tempatan turut melaporkan kualiti udara di seluruh negara pada Selasa didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat terutama di kawasan pantai barat Semenanjung.

Ini beberapa tindakan yang perlu diambil oleh para ibu bapa dan guru sebagai langkah pencegahan terutama kepada kanak-kanak:

1. Jauhi asap rokok daripada anak

Jika ada di antara ahli keluarga yang merokok, ini adalah masa yang terbaik untuk berhenti dan dinasihatkan supaya tidak merokok ketika dalam keadaan udara tidak sihat iaitu IPU yang melebihi 100.

Ahli keluarga yang merokok juga disyorkan agar jauhi asap rokok daripada anak-anak yang masih kecil kerana asap ia akan memburukkan lagi kadar kesihatan badan kanak-kanak.

Berdasarkan portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), perokok yang mempunyai anak kecil, ibu bapa tua dan sanak saudara yang berpenyakit jangan merokok di dalam rumah.

2. Minimakan aktiviti di luar

Selain itu, ibu bapa juga harus mengurangkan segala aktiviti di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu.

Hal ini kerana, aktiviti fizikal akan menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu.

Menurut seorang pakar Obstetrik dan Ginekologi (O & G)Thompson Medical Centre, Singapura, Dr Jasmine Mohd, terdapat juga kajian yang menunjukkan kaitan antara pendedahan kepada pencemaran udara dengan kematian akibat kegagalan sistem pernafasan terutama kepada bayi.

3. Lakukan pembelajaran secara dalam talian

Menurut Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), pihak pengurusan sekolah di Negeri Sembilan dinasihatkan untuk membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah jika bacaan indeks pencemaran udara (IPU) kurang sihat dan boleh menjejaskan kesihatan murid, lapor sebuah media tempatan.

Pengarah JPNS, Dr Roslan Hussin dilaporkan berkata, pengetua dan guru besar boleh mengambil tindakan sewajarnya termasuk membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah jika mendapati keadaan cuaca tidak sihat.

"Jika IPU mencecah tahap 200, memang kami nasihat supaya tutup sekolah. Jika belum capai tahap itu tetapi cuaca begitu panas sehingga boleh menjejaskan kesihatan, sekolah boleh ambil tindakan yang wajar termasuk membatalkan aktiviti luar bilik darjah," katanya.

4. Mengekalkan prosedur pemakaian pelitup muka kepada setiap anak murid di sekolah

Berdasarkan kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Isnin, pihak kementerian masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sehingga menerima arahan seterusnya.

“Kita akan bergantung kepada nasihat KKM dari semasa ke semasa berkaitan dengan cadangan atau nasihat seperti menutup (sekolah) atau memakai pelitup muka.

“Kita memang ada garis panduan kita dan kita kekal dengan garis panduan tersebut. Kita juga minta semua sekolah supaya mematuhi garis panduan tersebut,” katanya memetik laporan media tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram