[VIDEO] Nenek tua sesak nafas kena tinggal cucu dalam kereta


  • Benua
  • Khamis, 16 Nov 2023

Tangkap layar pengawal keselamatan terpaksa memecahkan cermin sebuah kenderaan untuk menolong seorang warga emas yang ditinggalkan di dalam kereta. —Agensi

SEORANG wanita warga emas mengalami sesak nafas gara-gara ditinggalkan oleh ahli keluarga dipercayai cucunya di dalam sebuah kereta baru baru ini.

Melalui video tular yang dimuat naik di laman media sosial Terang Media, ketika kejadian nenek malang tersebut berada di tempat duduk belakang sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Xpander di sebuah kawasan tapak parkir pusat beli-belah dalam cuaca panas terik.

"Pengawal keselamatan terpaksa memecahkan cermin sebuah kenderaan untuk menolong seorang warga emas yang lupa dibawa bersama oleh cucunya," tulis pentadbir laman sosial tersebut dengan kejadian dipercayai berlaku di Indonesia.

Dalam video berdurasi seminit berkenaan, kelihatan orang ramai mengerumuni kenderaan tersebut bagi membantu nenek malang itu.

Difahamkan, pengawal keselamatan pusat beli-belah berkenaan menggunakan peralatan khas bagi memecah cermin kereta itu dan mengeluarkan mangsa.

Kejadian itu turut menjadi bualan media sosial dan kebanyakan netizen mendakwa mangsa sengaja ditinggalkan. Pada masa sama, beberapa netizen turut bersimpati dengan nasib yang menimpa warga emas itu.

Setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian tersebut berlaku dan difahamkan nenek tersebut kini berada dalam keadaan selamat serta telah diserahkan kepada ahli keluarganya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram