MELAKUKAN aktiviti riadah di luar rumah sememangnya satu tarikan buat penduduk di negara ini kerana mudah untuk mendapatkan akses percuma seperti di taman rekreasi atau taman permainan.
Aktiviti seperti jogging serta mendaki gunung juga kerap dilakukan masyarakat tanpa mengenal usia disebabkan mereka dapat menikmati keindahan flora dan fauna selain mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Selain itu, orang ramai juga lazimnya tidak perlu membayar caj kemasukan atau yuran bulanan untuk kekal sihat berbanding mereka yang memilih untuk bersenam di gimnasium atau kawasan yang tertutup.
Dr Afiq menegaskan persiapan lebih awal perlu dilakukan jika mahu melakukan aktiviti riadah ketika cuaca panas.
Namun, sejak kebelakangan ini, cuaca panas yang melanda negara sememangnya memberi impak yang cukup besar sekali pun jika tidak melakukan aktiviti berat.
Pengaliran peluh yang lebih kerap serta mudah untuk berasa letih menjadi antara kesan sampingan sekiranya seseorang melakukan sebarang aktiviti di luar rumah.
Oleh itu, sebahagian besar pengamal perubatan menasihati orang ramai agar mengelakkan diri daripada terus terdedah kepada cuaca yang panas.
Hal tersebut disebabkan terdapat risiko seseorang mudah mengalami risiko kesihatan seperti strok haba ataupun dehidrasi di tahap yang teruk.
Bagaimanapun, masih terdapat beberapa pendekatan yang boleh diamalkan jika masih bertegas untuk melakukan aktiviti riadah demi kesihatan tersendiri.
Menurut seorang petugas kesihatan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor, Dr Muhammad Afiq Ahmad Anuar, persediaan rapi ialah kunci utama sekiranya mahu bersenam di luar rumah.
"Jika kita betul-betul mahu melakukan aktiviti luar juga adalah dengan kita melakukan perancangan, contohnya, jika kita mahu keluar pada kira-kira pukul 5 petang, kita ambil inisiatif dengan menukar waktunya.
"Selain itu, bagi mereka yang memang mahu jogging atau sebagainya, pastikan kita bawa bekal secukupnya, termasuk botol minuman serta krim perlindungan matahari," katanya kepada Majoriti.
Pegawai perubatan ortopedik itu juga menasihatkan agar jika seseorang bertegas untuk melakukan senaman adalah lebih baik sekiranya tidak mengambil masa terlalu lama untuk berada di luar rumah.
"Orang ramai juga perlu menukar tanggapan bahawa aktiviti riadah itu hanyalah bertujuan untuk memastikan kesihatan diri di tahap optimum," jelasnya.
"Kita nak bersenam ini hanyalah untuk suka-suka dan menjaga kesihatan diri, janganlah sehingga ia memudaratkan diri. Jadi, sebelum melakukan sesuatu senaman itu, saya cadangkan perlu lakukan perancangan awal," katanya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram