[VIDEO] Isteri durjana dipenjara 16 tahun lepas tersilap upah polis bunuh suami


  • Benua
  • Jumaat, 26 Jan 2024

Dalia Dippolito berdepan hukuman penjara selama 16 tahun susulan dakwaan mengupah individu untuk membunuh suaminya. — Agensi

SEORANG wanita berdepan hukuman penjara selama 16 tahun selepas didakwa mengupah pembunuh upahan untuk membunuh suaminya di Florida, Amerika Syarikat pada 2017.

Tertuduh, Dalia Dippolito berjaya ditahan hasil kelicikan pihak polis yang melakukan penyamaran sebagai pembunuh upahan yang dibayar untuk menamatkan riwayat suaminya.

Video penahanan wanita itu turut tular di laman X (Twitter) dengan memaparkan reaksi Dippolito semasa diberitahu pihak polis tentang kematian suaminya.

Difahamkan, Dippolito membayar sebanyak AS$7,000 (RM33,000) kepada individu terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] Bapa durjana buat muka tak bersalah, selamba kerjakan anak separuh mati

Hakim mahkamah Glenn Kelley berkata, perbuatan itu dilakukan secara terperinci dan mendakwa tertuduh turut mempengaruhi dua lelaki lain untuk turut serta dalam keganasan tersebut.

"Jenayah ini dirancang dengan sangat bahaya dan sukar diramal, Dippolito sememangnya nekad ingin membunuh suaminya," katanya.

Pendakwa raya dalam pada masa sama turut membuat spekulasi bahawa perbuatan itu bertujuan bagi merampas segala aset dan simpanan harta suaminya.

Meskipun mahkamah pada awalnya menetapkan hukuman penjara selama 30 tahun, namun atas kelakuan baik dipamerkan sepanjang dalam tahanan, tempoh itu disingkatkan kepada 16 tahun sahaja.

Suaminya, Michael menganggap tindakan isterinya telah menghancurkan masa depannya sendiri.

"Orang ramai akan berkata, awak sangat bertuah kerana masih hidup, saya tidak menyangka telah melalui perkara karut ini sepanjang sembilan tahun perkahwinan.

"Saya 100 peratus pasti bahawa dia cuba membunuh saya," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram