[VIDEO] Wanita tular pandu kereta halang ambulans di MRR2 ada masalah mental


  • 112
  • Jumaat, 26 Jan 2024

Tangkap layar video tular memaparkan tindakan pemandu wanita tersebut yang menghalang ambulans dalam kejadian di MRR2, Kuala Lumpur pada Khamis.

PEMANDU wanita yang tular selepas tindakannya menghalang ambulans di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kuala Lumpur pada Khamis disahkan mengalami masalah psikiaktri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya sudah menahan pemandu terbabit selepas menerima laporan daripada pemandu ambulans terbabit.

"Pemandu kereta jenis Toyota Camry berusia 41 tahun itu dibawa ke Balai Polis Trafik bagi tujuan siasatan.

"Bagaimanapun, pemandu kenderaan berkenaan didapati menghadapi masalah psikiatri dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan rawatan serta mendapatkan laporan perubatan," katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: [VIDEO] Lagi kes halang ambulans, pemandu Ertiga didakwa 'buat pekak' tak hirau siren kecemasan di Kulim

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu Hilux biadab, siap ketawa berdekah-dekah halang laluan ambulans

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 5.35 petang Khamis ketika ambulan berkenaan sedang dalam perjalanan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) ke Ulu Kelang.

Ujarnya, ambulans berkenaan dihalang laluannya oleh kereta terbabit ketika tiba di Jalan Lingkaran Tengah II MRR2 dari arah Lotus Ampang menghala ke Hotel Flamingo.

"Ambulans berkenaan memasang siren untuk penugasan kecemasan membawa pesakit dalam perjalanan dari HUKM menghala ke kediaman pesakit di Ulu Kelang,"katanya.

Sarifudin memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik, Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai Polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram