[VIDEO] Penyamun sanggup datang balik, 'complete set' rembat 2 lagi rim dan tayar kereta di Bau


  • Tular
  • Rabu, 24 Jan 2024

Tangkap layar seorang lelaki mencuri dua rim tayar dan bateri kereta dari sebuah kediaman dekat Singai, Bau, Sarawak pada Isnin.

KEGIATAN mencuri rim dan tayar bateri kereta didalangi dua individu lelaki di sebuah kediaman dekat Singai, Bau, Sarawak pada Isnin terbongkar apabila disedari pemiliknya.

Menurut hantaran dimuat naik di laman Facebook Sarawak Roads Update pada Rabu, kedua-dua lelaki terbabit sebelum ini didakwa pernah melakukan perbuatan sama dan berjaya melarikan sepasang rim dan tayar dari kediamannya.

Turut dicuri kedua-dua suspek termasuklah bateri kereta dari rumah mangsa.

Namun, selang beberapa hari kemudian, pelaku sekali lagi dilihat melakukan perbuatan sama apabila mencuri baki dua lagi barangan tersebut.

Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), video berdurasi 43 saat itu tular di laman media.

BACA LAGI: [VIDEO] Lagak macam profesional, 3 pencuri kantoi pecah kereta 2 kali di Kedah

BACA LAGI: [VIDEO] Tak padan dengan kaki capek, lelaki selamba curi helmet basikal di Klang

Pelaku dipercayai menjalankan kegiatan itu dengan menaiki motosikal, namun identiti kedua-duanya gagal dikenal pasti pemilik.

Menggesa agar pihak yang mengenali pelaku tampil menyalurkan maklumat, pemilik juga mengharapkan agar rakaman CCTV itu mendapat perkongsian ramai di laman media.

"Sila kongsikan video dan bantu kami mencari pencuri, sesiapa yang mengenali mereka boleh tahan dan bawa ke balai polis berhampiran.

"Jika si pencuri terbaca hantaran ini sila serahkan diri ke balai polis, apa yang salah tetap salah dan kami percaya anda juga enggan perkara sebegini berlaku kepada diri sendiri," katanya dalam hantaran tersebut.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung hal itu setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat dinasihatkan tampil membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram