ENAM lelaki termasuk seorang pelajar Tingkatan Satu diberkas polis didakwa terlibat dalam kegiatan samun bersenjatakan parang dan besi di Alor Gajah, Melaka bulan lalu.
Suspek berusia antara 13 hingga 27 tahun ditahan dalam operasi di Simpang Ampat, Alor Gajah dan Sik, Kedah pada Isnin dan Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, tiga daripada suspek itu termasuk pelajar berusia 13 tahun akan didakwa di mahkamah pada Rabu.
"Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama di Mahkamah Alor Gajah, manakala tiga lagi dibebaskan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
BACA LAGI: [VIDEO] Baru lepas keluar duit dekat bank, lelaki kena samun di lampu isyarat Klang
Arshad berkata, mereka dipercayai terbabit dengan kes samun terhadap tujuh pekebun warga asing dengan tiga kes dilapor pada Disember tahun lalu.
Katanya, suspek bukan hanya melarikan barang berharga dan wang tunai, malah bertindak ganas dengan menetak serta memukul mangsa menggunakan besi dan parang.
"Kejadian pertama pada kira-kira pukul 1.30 pagi, 4 Disember membabitkan tiga warga Bangladesh yang disamun lima lelaki bersenjata dan menutup muka di kebun sayur, Kampung Padang Kambing, Simpang Ampat.
"Kejadian kedua membabitkan mangsa tiga lelaki Bangladesh disamun lapan lelaki yang menggunakan modus operandi sama. Mangsa membuat laporan pada 4 Disember mendakwa disamun sehari sebelum itu di rumah kongsi kebun sayur Kampung Melekak, Alor Gajah," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah rakam jenayah aksi sendiri samun warga asing di Cheras, polis tahan 3 pelajar
Arshad berkata, laporan seterusnya diterima daripada pengurus kebun yang mendakwa seorang pekerjanya warga Bangladesh ditetak dan disamun enam lelaki di rumah kebun di Jalan Kebus Simpang Ampat 1 pada 20 Disember 2023.
Secara keseluruhan, katanya, suspek menyamun wang tunai hampir RM9,000 dan mengambil empat telefon pintar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram