Peras ugut tauke air ketum sampai RM10,000, 4 anggota polis digantung tugas


  • 112
  • Selasa, 23 Jan 2024

Empat anggota polis ditahan kerana didakwa memeras ugut seorang peniaga kedai makan yang menjual air ketum di Taman Desa Gombak, Kuala Lumpur pada November tahun lalu. . — Gambar hiasan

EMPAT anggota polis ditahan kerana didakwa memeras ugut seorang peniaga kedai makan yang menjual air ketum di Taman Desa Gombak, Kuala Lumpur pada November tahun lalu.

Dalam kejadian itu, empat lelaki terbabit yang mendakwa dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman telah pergi ke rumah pengadu di Taman Desa Gombak.

Susulan pemeriksaan dijalankan, sejumlah 20 bungkusan cecair dipercayai air ketum ditemui di lokasi berkenaan.

BACA LAGI: Bukit Aman rampas dadah, air ketum tapi bukan di pejabat DUN Gombak Setia

Berikutan penemuan itu, anggota polis terbabit kemudiannya meminta mangsa membayar RM10,000 sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan kerana menjual air ketum.

Namun, mangsa berusia 30-an itu dilaporkan mampu membayar RM5,000 sahaja dan polis berkenaan memberi jaminan bahawa kegiatannya tidak akan tertangkap.

Bulan berikutnya, salah seorang polis menghubungi mangsa dan meminta RM1,000 dipindahkan setiap bulan ke akaun bank peribadinya.

Tindakan itu membuatkan mangsa merasakan dirinya ditipu dan terus bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian itu selepas membuat pemindahan wang sebanyak RM500 kepada polis berkenaan pada 18 Januari lalu.

Susulan kes itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, keempat-empat suspek telah direman bagi membantu siasatan.

BACA LAGI: Segera wartakan ketum sebagai dadah berbahaya - MASAC

"Kami telah merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. Reman empat suspek tamat hari ini (Selasa)," tambahnya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan keempat-empat suspek merupakan anggota polis yang bertugas di negeri tersebut.

"Kami menggantung keempat-empat mereka daripada tugas dan akan menjalankan siasatan tatatertib.

"Saya ingin memberi amaran kepada kakitangan saya supaya menjauhi kegiatan jenayah dan salah laku kerana kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ditangkap," katanya. — The Star/AUSTIN CAMOENS

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram