[VIDEO] Mufti gesa siasat, ambil tindakan segera terhadap pihak dakwa Nabi Muhammad sebagai Tuhan


  • Primer
  • Khamis, 20 Jul 2023

Tangkap layar video memaparkan beberapa individu yang mempercayai ajaran bahawa Nabi Muhammad SAW adalah ALLAH SWT.

PIHAK berkuasa agama Islam diminta mengambil tindakan segera terhadap beberapa lelaki dan wanita, dipercayai daripada sebuah keluarga, yang mengisytiharkan kepercayaan karut mereka bahawa Nabi Muhammad SAW adalah ALLAH SWT.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor berkata, tindakan mereka dalam video yang tular di media sosial jelas menunjukkan satu lagi ajaran sesat dan ia perlu dilurus serta dibendung supaya tidak tersebar dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

"Siasatan perlu dijalankan segera bagi mengenal pasti individu-individu itu untuk diminta bertaubat dan jika mereka berdegil untuk terus berpegang dengan kesesatan tersebut maka mereka perlulah dihadapkan ke Mahkamah Syariah serta dikenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wan Mohd Salim gesa individu-individu dalam video tular tersebut segera bertaubat.

Beliau berkata, tujuan sebenar di sebalik tindakan itu tidak dapat dikenal pasti namun tidak diragui lagi bahawa kepercayaan sedemikian adalah satu lagi ajaran sesat.

''Kita sedia maklum bahawa di dalam ajaran Islam, Nabi Muhammad SAW adalah seorang Rasul yang diutuskan ALLAH SWT untuk menyampaikan agama-Nya kepada seluruh manusia,'' katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram